AMANAH Desak Mb Negeri Sembilan Pohon Pembubaran Dun
1- Parti Amanah Negara (AMANAH) mengambil maklum pergolakan politik yang berlaku di Negeri Sembilan telah mencapai tahap yang sangat kronik apabila Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir telah menarik balik perkenan dan membatalkan perlantikan semua exco Kerajaan Negeri Sembilan yang telah dilantik pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang lalu kerana memungkiri sumpah.
Amanah berpendirian untuk tidak mencampuri kemelut kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan memandangkan urusan tersebut harus diselesaikan mengikut lunas undang-undang, Perlembagaan dan Adat Negeri Sembilan.
2- Namun, susulan pergolakan politik semasa di Negeri Sembilan, AMANAH berpandangan bahawa PRN Negeri Sembilan ke-16 yang diadakan secara mengejut adalah berpunca daripada desakan pihak-pihak tertentu yang mahu menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan daripada takhta.
Hal ini diperkukuhkan dengan proklamasi yang telah ditandatangani oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Ismail Bin Lasim sejurus selepas PRN Negeri Sembilan ke-16 berlaku iaitu pada 3 Ogos 2026. Situasi politik semasa bertambah meruncing apabila Menteri Besar menolak titah tersebut secara terbuka.
3- AMANAH berpendirian bahawa UMNO gagal untuk menghormati kedudukan institusi diraja Melayu apabila mengambil langkah-langkah menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan seolah-olah satu tindakan coup d'état.
Tindakan-tindakan yang diambil UMNO itu jelas bertentangan dengan kehendak rakyat Negeri Sembilan yang mana PRN Negeri Sembilan ke-16 yang lalu tidak langsung bertujuan untuk mengganggu gugat kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
4- Justeru, AMANAH mendesak Menteri Besar Negeri Sembilan untuk memohon pembubaran DUN Negeri Sembilan memandangkan pertembungan antara Eksekutif dan Istana adalah bertentangan dengan roh dan prinsip Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Amanah percaya bahawa pergolakan politik yang gagal diuruskan dengan baik oleh UMNO boleh menggugat kestabilan pentadbiran kerajaan negeri.
Muhammad Faiz Fadzil
Setiausaha Agung
21 September, 2026 Lihat Sedikit




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.