https://critoxium.com/shop/

Terkini

Video wanita bangun lambat, Rina harus dipecat, kata Yeoh

 


PETALING JAYA: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun perlu digugurkan daripada jemaah menteri kerana telah menjatuhkan imej portfolio disandangnya yang mengaitkan wanita “bangun lambat”, dalam video terbaharu dimuat naik di akaun media sosialnya.

Bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, Hannah Yeoh berkata beliau sedih melihat agensi dan kumpulan sasar di bawah kementerian itu dipergunakan Rina untuk tujuan promosi.

“Cukuplah tiga tahun menjadikan KPWKM ini sebagai bahan gurauan. Saya sedih melihat agensi, pegawai kerajaan dan kumpulan sasar KPWKM digunakan seperti ini.

“Kalau Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob betul-betul serius mengenai perjuangan Keluarga Malaysia, gugurkanlah menteri sebegini yang memperlekehkan peranan wanita.

“Yang harus ‘bangun daripada tidur’ adalah Rina Harun dan Timbalan Menteri beliau (Siti Zailah Yusoff dari PAS). Tiga tahun sudah melebihi probation period (tempoh percubaan) untuk mereka ‘bangkit’ buat kerja,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, tular satu video memaparkan Rina bersama pegawai KPWKM berada di belakang pelakon dan juga usahawan, Rosyam Nor yang mempersendakan golongan wanita dengan menggunakan ayat kurang sopan seperti “suka bangun lambat”, “wanita semua lambat”, “aku nak belasah kepala korang” .

Klip pendek itu bersempena Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM di Pusat Dagangan Dunia (WTC) bermula esok.

Hannah berkata kepimpinan ketua wanita Bersatu itu jauh berbeza dengan ikon menteri wanita Pakatan Harapan (PH), Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mengemudi kementerian itu ketika era pentadbiran PH pada 2018.

“Rina tidak dibayar gaji beribu-ribu setiap bulan oleh rakyat hanya untuk beliau membuat program.

“Rakyat bayar gaji menteri bukan untuk buat kerja ‘event organiser’. Rina tidak perlu membuat kerja Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Mereka lebih mahir dalam bab ini,” sindir pemimpin DAP itu.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.