https://critoxium.com/shop/

Terkini

Anwar tak pernah sebut projek KXP dibatal, kata Loke

 


PETALING JAYA: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim tidak pernah mengumumkan kerajaan membatalkan cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Kedah, kata Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.

Beliau berkata, bagaimana kerajaan mahu membatalkannya sedangkan permohonan belum dilakukan kerajaan Kedah bagi merealisasikan projek berkenaan.

“Menteri kewangan (perdana menteri) tak pernah sebut dibatalkan (KXP), dia tak sebut dibatalkan, belum ada permohonan, bagaimana dibatalkan sebab permohonan belum dipohon,” katanya ketika menggulung perbahasan di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) berhubung pendirian kerajaan pusat membabitkan cadangan projek yang dikatakan berimpak tinggi itu.

Loke mencadangkan kerajaan Kedah membawa pelabur dan pihak berminat menjalankan projek itu ke kementeriannya bagi proses rundingan.

“Kalau projek itu ada pelabur, sila bawa pelabur itu jumpa dengan kita, saya akan jumpa dengan pelabur itu, saya akan bincang. Kita nak ialah kerajaan negeri kalau nak terus projek itu, bawa pelabur jumpa dengan kita dan membuat permohonan secara rasmi, tidak timbul soal kita membatalkan projek KXP, ia belum dipohon.”

Sebelum ini, Menteri Besar Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, Kedah tidak akan berputus asa meyakinkan Putrajaya mengenai faedah bakal diperolehi menerusi pembinaan KXP yang tidak dipertimbangkan dalam Belanjawan 2023.

Beliau yakin perdana menteri belum mendapat gambaran penuh mengenai KXP.

Memetik laporan Bernama dalam pembentangan Belanjawan 2023, Anwar mengumumkan cadangan membesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang, namun bercadang menghentikan pembinaan KXP.

Anwar dipetik berkata, pembesaran dua lapangan terbang itu dijangka memanfaatkan pertumbuhan ekonomi pada kos jauh lebih rendah berbanding cadangan pembinaan KXP yang dianggarkan menelan kos RM7 bilion, sekali gus tidak boleh dipertimbangkan dalam keadaan sekarang.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.