Cukuplah spekulasi kurang enak, kata waris MH370
PETALING JAYA: Sembilan tahun telah berlalu, ketika waris kru dan penumpang MH370 cuba melupakan memori hitam kehilangan insan tersayang, hati kecil mereka terus diuji dengan khabar angin kurang enak.
Dakwaan seperti mereka kini ‘kaya raya’ dengan bantuan daripada kerajaan cukup melukakan perasaan, kata seorang waris, Intan Maizura Othaman, 43, yang suaminya, Mohd Hazrin Mohamed Hasnan, antara anak kapal menaiki pesawat malang itu.
Menurut Intan yang juga bekas pramugari, lebih mendukacitakan ada pihak mengambil kesempatan cuba meraih populariti di media sosial dengan menularkan gambar kononnya mangsa MH370 sedang berada di sebuah pulau.
“Kamu hanya mengejutkan kembali perasaan waris yang hanya hendak meneruskan kehidupan.
“Kalau waris kuat macam besi mungkin tidak mengapa, tetapi bagaimana pula dengan mereka yang masih menaruh harapan?,” kata ibu kepada dua anak dalam temu bual di TikTok FMT semalam.
“Tak ada (juga) kaya-raya. Kalau hendak tahu saya sampai hari ini buat tiga kerja…jual kerepek, insurans dan buat (menjadi hos) Airbnb.”
Pada 8 Mac 2014, MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China namun hilang daripada skrin radar dua jam kemudian.
Susulan itu, operasi mencari secara besar-besaran membabitkan beberapa negara dijalankan di kawasan berkeluasan berjuta-juta kilometer persegi di selatan Lautan Hindi namun pesawat MH370 atau bangkainya gagal ditemukan.
Sebagai umat Islam, Intan pasrah dengan takdir dan meneruskan kehidupan dengan dua anaknya Iman, 14, dan Mohamed,9, yang dikandungkannya ketika episod hitam itu berlaku.
Kini, hanya kenangan indah bersama Hazrin menjadi ingatan termasuk percutian dua hari ke Port Dickson, Negeri Sembilan pada 6 dan 7 Mac 2014 sebelum suaminya berlepas ke Beijing.
Keesokannya, Intan menghantar Hazrin ke KLIA dan sepanjang perjalanan mereka berbual seperti biasa tanpa melihat sebarang perubahan pada suaminya.
“Lima tahun berkahwin banyak sangat memori indah, saya hidup dengan kenangan itu selepas kehilangannya,” katanya yang mengakui sebagai kru penerbangan tidak pernah diberi latihan menerima berita kematian sebegitu.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.