https://critoxium.com/shop/

Terkini

Dulu tidak terkenal, ‘Doraemon’ dan ‘Nobita’ Malaysia terharu kini disayangi

 


PETALING JAYA: Mereka yang dilahirkan pada sekitar 80an dan 90an pasti mengingati siri animasi popular dari Jepun, Doraemon, mengisahkan persahabatan unik antara robot kucing dari masa depan dengan seorang kanak-kanak lelaki.

Mula disiarkan di Malaysia pada 1988 sehingga kini, ramai tidak mengenali artis alih suara di sebalik suara comel itu kerana kurang pendedahan, individu terbabit antaranya Ruhaiyah Ibrahim, 56, dan Azizah Mat Jais yang berusia 74 tahun.

Kini kehadiran dua insan seni itu mula disedari. Apatah lagi, Ruhaiyah dan Azizah turut “meminjamkan” suara mereka untuk animasi popular lain seperti Dragon Ball, Sailor Moon, Spongebob, Detective Conan, Naruto, Crayon Shin-chan, Robocar Poli, Avatar, CatDog, dan Tom & Jerry.

Mereka juga terlibat mengalih suara drama bersiri dari Jepun, Korea, Arab Saudi, Brazil dan Turki.

“Sudah tua-tua ini (baru orang nak kenal). Syukur mereka sedar (kewujudan kami)…selama ini ingat tak ada apa-apa (ingat tak popular),” seloroh Azizah yang membawa watak Nobita kepada FMT.

Dua insan berbakat besar dalam seni alih suara mengakui terlalu sayangkan Doraemon dan Nobita memandangkan sudah bersama dengan watak itu sejak 1998.

Ruhaiyah menjalani proses alih suara watak Doraemon.

Menurut Ruhaiyah, detik pertemuannya dan keserasian dengan Azizah bermula apabila mereka bertukar watak siri itu, sebelumnya dia mengalih suara Nobita dan ditukar kepada Doraemon.

“Kak Yah ini (cuba watak Doraemon) saat akhir sebab (syarikat produksi) nak cukupkan kuota (untuk dihantar kepada stesen tv). Masa itu dah ada lapan suara mencuba dan mereka kata saya terpilih untuk watak Doraemon,” katanya.

Ruhaiyah berkata, proses alih suara kini jauh berbeza dengan dahulu yang berjalan dalam suasana kekeluargaan memandangkan kesemuanya perlu bersama pada setiap masa ketika sesi rakaman.

“Kalau dulu di meja panjang ada satu keluarga ada dari Nobita, Doraemon, mak dan ayahnya, Sinyu, Giant, Shizuka. Kalau seorang buat salah kita kena ulang balik semua.

Siri Doraemon disukai peminat animasi daripada pelbagai peringkat usia. (Gambar Google)

“Tetapi sekarang disebabkan teknologi canggih, jadual asing-asing dan buat alih suara sendiri…rasa macam kurang emosi, bagaimana hendak bergaduh seorang diri?,” soal ibu kepada lima cahaya mata itu.

Bagi Azizah, usianya tidak menghalang daripada terus aktif melakukan kerja alih suara dan tidak menjejaskan hasilnya. Dia juga mengalih suara drama bersiri popular Jepun iaitu Oshin.

Menurut Azizah, untuk menjadi pengalih suara, seseorang itu harus berupaya membuat sekurang-kurangnya tiga suara dan fokus kepada 3M iaitu memandang skrin, mendengar suara dan membaca skrip.

“Kita juga kena kreatif contohnya bagaimana hendak ikut ikan dan burung bercakap, nak jadi orang alih suara bukan senang,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.