RUU355 tak mampu tawan undi Melayu, gabungan kerajaan diberitahu
PETALING JAYA: Cadangan meningkatkan hukuman jenayah di Mahkamah Syariah menerusi rang undang-undang (RUU) dikenali sebagai RUU355 tidak akan membantu gabungan pemerintah meraih undi Melayu pada PRN akan datang, menurut penganalisis politik.
RUU355 merujuk kepada cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 2017 namun terbantut susulan pembubaran Parlimen
Pensyarah Universiti Sains Malaysia Azmil Tayeb berkata, walaupun gabungan kerajaan mungkin berpendapat ia boleh menaikkan imej Islamnya dengan “bermain permainan sama” seperti PAS, mereka tidak akan pergi jauh.
“Pakatan kerajaan tersilap besar jika berpendapat pengundi Melayu akan memilih mereka pada PRN akan datang disebabkan cadangan pembentangan RUU355,” katanya.
“Pengundi Melayu memilih parti berdasarkan identiti Islam. Mereka akan sentiasa memilih PAS kerana dilihat lebih tulen dan jujur dalam memperjuangkan kepentingan Islam.”
Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim mungkin sedang cuba “menggilap” kelayakan agamanya jika RUU355 masih dalam agenda mereka.
Bagaimanapun, Oh berkata, kerajaan mungkin hanya akan “tersedar” pada malam keputusan PRN diumumkan kerana ia “bukan tandingan bagi status agama PAS yang cemerlang”.
Beliau berkata, gesaan PAS untuk sebuah negara teokratik “semakin diterima dalam kalangan sebahagian besar pengundi”.
Awal minggu ini, Menteri Hal Ehwal Agama Na’im Mokhtar berkata, pindaan RUU355 akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan. Katanya, kementeriannya sedang menyediakan kertas Jemaah Menteri.
RUU355 bertujuan meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah dan hukuman dikenakan bagi kesalahan jenayah syariah.
Seorang lagi penganalisis politik, Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, parti dalam gabungan kerajaan mungkin mencapai keputusan lebih baik dalam PRN jika penyokong bukan Melayu menyokong RUU tersebut 100%.
“Ia mungkin menjadi perkembangan positif (buat pengundi Melayu) dari segi melindungi Islam sebagai agama dan kepentingan mereka,” katanya.
Tambahnya, persepsi bahawa PAS lebih bagus dalam melindungi Islam boleh dilenyapkan kerana gabungan kerajaan perpaduan akan menunjukkan mereka memperjuangkan perkara sama.
Dengan pembangkang menuduh kerajaan tidak mengambil berat tentang Islam, Azmi berkata, penyokong bukan Melayu mungkin tidak membantah RUU itu.
“Saya fikir ia juga baik untuk DAP kerana akan menunjukkan parti itu boleh menjadi sangat fleksibel dan memahami,” katanya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.