Persatuan anak Felda mohon duit raya dari kerajaan
Penasihat Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman merayu kepada kerajaan agar meneruskan insentif memberi duit raya kepada 112,635 peneroka Felda sempena Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Dia yang juga merupakan pengerusi Pertubuhan Gerak Tani berkata pemberian itu dapat menghargai jasa dan pengorbanan kakitangan Felda bertungkus lumus bekerja.
“Saya mengambil kesempatan setiap kali bulan Ramadan, merayu agar duit raya dapat diberikan kepada peneroka Felda.
“Jumlahnya terpulang kepada budi bicara YAB perdana menteri atau kerajaan,” katanya dalam majlis sumbangan kain batik dan kain pelikat kepada 15 orang kakitangan Felda dan Felda Plantation Management (FPM) di Felda Bukit Ramun di Kota Tinggi, Johor.
Turut sama hadir dalam majlis tersebut, pengurus Felda Bukit Ramun, Sahrol Farizal Mohd Noor, dan pengurus FPM Bukit Ramun Saiful Hanizam Esa.
Sementara itu, Felda berkata pemberian duit raya dapat memberi erti yang besar kepada warga Felda dan membantu mereka yang berdepan bebas kos sara hidup.
Katanya, insentif yang dihentikan sejak tahun 2019 itu wajar diberikan semula memandangkan rata-rata warga peneroka sudah berusia.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.