https://critoxium.com/shop/

Terkini

'Jangan mengundi tanpa berfikir' - Anwar

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Program Santai Petang dan Dialog bersama anak muda Langkawi di Kolej Vokasional Langkawi hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Program Santai Petang dan Dialog bersama anak muda Langkawi di Kolej Vokasional Langkawi hari ini. - Foto BERNAMA

LANGKAWI: Golongan muda tidak boleh menjadikan hak sebagai pengundi di negara ini dengan memberikan undi tanpa berfikir dan menilai kesannya kepada mereka, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, sebagai golongan yang bakal memimpin negara pada suatu masa nanti, anak muda perlu mempunyai nilai dalam idealisme, termasuk dalam percakapan dan amalan.

Jelasnya, tindakan menggunakan hak mengundi tanpa mengambil kira kesan kepada masa hadapan hanya akan menyebabkan kerugian apabila pihak yang melakukan penyelewengan dipilih menjadi pemimpin.

"Anak muda kena ada nilai dan idealisme, bukan anak muda yang pertahankan penyelewengan. Orang yang ada nilai tidak melakukan penindasan dan pemerasan.

"Apa juga tindakan yang diambil anak muda, termasuk dalam kuasa politik, kena fikir dahulu. Saya nanti nak kerja mana, gaji berapa? Gunakan hak memilih dengan berfikir.

"Ada kata undi Anwar nanti orang Cina berkuasa, Islam akan dibenamkan, itu tak betul kalau kita percaya. Maknanya, kita tertipu dengan propaganda politik, kena ada alasan dan hujah, sebab itu anak muda mesti dilatih untuk berfikir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Sesi Santai Petang dan Dialog Bersama Perdana Menteri di Kolej Vokasional Langkawi (KVL), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar, yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, anak muda tidak boleh memiliki berperangai lebih teruk daripada golongan terdahulu yang melakukan pelbagai perangai negatif.

Katanya, golongan muda perlu melihat dan mengkaji setiap maklumat diterima dan tidak mempercayai kepada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan ke atas mereka.

"Ada anak muda tetapi perangai lebih teruk daripada orang tua, ada anak muda tetapi menjadi tali barut apabila mempertahankan penyelewengan dan penindasan.

"Apa erti anak muda sebegitu, menjadi anak muda ikut sahaja yang diperkatakan dan menjadi seperti mereka yang tidak berfikir.

"Anak muda yang kita mahu mesti ada nilai dari segi keyakinan dan minat hendak bawa perubahan, minat dalam menimba ilmu, minat dan cita-cita membawa kebaikan, itu yang disebut idealisme," katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.