Bayaran saguhati Lembaga Pengarah AKSB melukakan hati rakyat Kelantan
KOTA BHARU: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kelantan kecewa sekiranya pemberian wang saguhati kepada Ahli Lembaga Pengarah Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) benar berlaku, ketika isu air di negeri itu tidak selesai.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Kelantan, Azwan Mat Hussain, berkata sebagai rakyat Kelantan beliau rasa terkilan dengan perkara itu.
Katanya, jika pemberian itu benar, ia akan mengguris hati rakyat yang masih dibelenggu dengan masalah air yang berpanjangan.
"Walaupun pemberian wang saguhati itu tidak salah dari segi undang-undang, namun ia memberi kesedihan dan kelukaan kepada pengguna AKSB yang mengalami masalah air.
"Justeru, saya meminta pihak AKSB menyelesaikan masalah air ini untuk kesejahteraan rakyat terutama pengguna AKSB," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Media semalam melaporkan, tular satu notis mengenai pemberian saguhati Aidilfitri dipercayai kepada sembilan Ahli Lembaga Pengarah AKSB masing-masing sebanyak RM10,000 seorang.
Selain itu turut dinyatakan dalam notis itu mengenai pemberian sagu hati kepada semua kakitangan sebanyak RM200 dan kepada setiausaha syarikat sebanyak RM2,000.
Mengulas lanjut, Azwan turut mencadangkan supaya kerajaan negeri memberi peluang kepada syarikat atau pelabur lain untuk membekalkan air kepada rakyat negeri ini.
"Saya cadang syarikat ini menjadi syarikat kedua selepas AKSB untuk sama-sama membantu bagi menyelesaikan masalah air. Beri peluang kepada syarikat lain dan kemungkinan isu air ini akan dapat diselesaikan," katanya.
Sementara itu, pemaju perumahan, Syed Gamal Syed Kechik, berkata dia berasa sedih dengan masalah yang dialami penduduk di negeri ini.
"Sebagai contoh, saya lihat rumah saudara sendiri tidak mempunyai air sejak sebulan lalu dan terpaksa mengambil air di masjid berdekatan untuk mandi dan mengambil air sembahyang.
"Saya berharap masalah ini dapat diselesaikan kerana bukan semua rakyat mampu untuk membuat telaga tiub yang memerlukan kos melebihi RM1,000," katanya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.