https://critoxium.com/shop/

Terkini

PH, BN perlu waspada jangan sampai jadi 'kawan makan kawan'

 


Oleh Prof Dr P Sivamurugan -

KERAJAAN Perpaduan terbentuk hasil kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk memastikan politik negara stabil, Parlimen tidak tergantung dan kerajaan didirikan dengan licin, tersusun dan lancar.

Kerajaan Perpaduan kini merangkumi penggabungan blok Pakatan Harapan (PH) memiliki 82 ahli Parlimen, 30 Barisan Nasional, 23 ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS), enam dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan tiga dari Parti Warisan (WARISAN).

Ia termasuk satu ahli Parlimen masing-masing dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Bebas membawa kepada sejumlah 148 kerusi Parlimen, kerajaan campuran berpusatkan penggabungan besar atas dasar 'kesefahaman politik'.

Kerajaan Perpaduan adalah kerajaan untuk memulihkan semula keyakinan dan kepercayaan rakyat ke atas institusi kerajaan, struktur sosial dan pelan ekonomi tanah air. Oleh kerana ini adalah kerajaan luar biasa, dinamika politik Malaysia menyaksikan pendekatan dan tindakan tidak pernah diramal sama sekali.

Selepas enam bulan terbentuk, dilema mula menggari pemikiran kepemimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan, khasnya apabila bakal berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Ini membabitkan kepimpinan pertengahan, akar umbi dan pengundi sendiri yang mempunyai kecenderungan berbeza apabila mengundi. Ada yang melihat kepada calon, isu ataupun kesetiaan pada parti.

Sejauh manakah aliran sokongan selama ini mempunyai nilai kesetiaan yang tinggi kepada parti khasnya UMNO, bersedia untuk menyokong calon dari parti pernah dibenci, dihina, diaib, dimalukan dan dikhuatiri kewibawaannya disebabkan perubahan ke atas penggabungan blok parti campuran di peringkat Persekutuan.

Slogan dilaungkan sebelum ini - 'lawan tetap lawan' kini menjadi 'dulu lawan sekarang kawan' di bawah panji Kerajaan Perpaduan kini menguntungkan siapa?

Kolaborasi dalam Kerajaan Perpaduan ini barangkali baharu kepada UMNO yang tidak pernah bekerjasama dengan DAP berbanding DAP yang pernah bekerjasama dengan PAS, PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan BERSATU sama ada dalam Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat (PR) dan kini PH.

Bagi UMNO, bekerjasama dengan PH terutama apabila terkait dengan DAP dianggap sesuatu yang sukar dan ini diakui sendiri Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, namun tiada yang mustahil dalam politik.

Dalam politik tidak ada musuh atau lawan kekal, tetapi hanya ada kepentingan. Apatah lagi politik adalah seni segala kemungkinan, tetapi yang penting memiliki 'angka' utuh di Parlimen untuk menjadi kerajaan pemerintah.

Era kini, slogan No Anwar, No DAP dilihat tidak relevan lagi kerana yang menerajui Kerajaan Perpaduan adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP sebahagian daripada kerajaan pimpinan beliau bersama BN/UMNO. Begitu juga slogan 'Asal Bukan UMNO' atau Anything But No BN.

Psikik pengundi sukar dibaca

Hakikat perlu diakui, PH dan BN hari ini adalah sekutu baharu dijenamakan sebagai 'kawan'. Maka kedua-duanya mesti berhati-hati supaya tidak berlaku 'kawan makan kawan'.

Apa yang menjadi perhatian adalah sentimen dan psikik akar umbi serta pemimpin pertengahan terhadap kerjasama serba baharu ini, terutama bagi UMNO.

Sama ada di pihak UMNO atau DAP, ada yang boleh menerima dengan mudah kerjasama baharu ini, tetapi ada juga masih memperlekehkan dan mempersoal bagaimana hendak memangkah parti dianggap 'musuh ketat' selama ini.

Mendepani isu ini, adakah pengundi UMNO sedia berubah? Pemindahan aliran sokongan lebih mudah jika mengguna logo sama untuk menampakkan 'kebersamaan' dalam Kerajaan Perpaduan, tetapi bagi sebilangan masih fobia dengan logo parti kerajaan campuran ini khasnya 'Roket', kecenderungan orang UMNO untuk tidak keluar mengundi atau melakukan undi protes agak besar.

Psikik pengundi sukar dibaca, namun ia memerlukan kompromi dan pengorbanan besar daripada semua parti jika mahu meraikan perbezaan dan menebus persamaan di sebalik perbezaan ideologi perjuangan.

Bucu yang menjadi penghalang selama ini adalah 'pengurusan persepsi'. Ini perlu ditangani dengan kemas, bijak dan peka kepada sensitiviti ahli, penyokong dan pengundi.

Dalam hal ini, kesungguhan kepemimpinan atasan parti gabungan Kerajaan Perpaduan membawa naratif baharu - 'sokong DAP, Pangkah UMNO' dan 'Sokong UMNO, Pangkah DAP' adalah satu tanggungjawab bersama yang diterjemahkan hasil Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan minggu lalu.

Arahan kepemimpinan parti supaya aliran sokongan kepada Kerajaan Perpaduan diterjemah dalam pengundian tanpa mengira calon dari parti mana sama ada PKR, UMNO, DAP dan AMANAH memerlukan isyarat jelas untuk menghindari sikap skeptikal dan amalan 'menikam diri sendiri'.

Nyawa Kerajaan Perpaduan bergantung kepada gerak kerja, strategi dan keupayaan semua 19 parti menunjukkan kesepaduan, bersatu padu dan berjiwa perpaduan.

Asimilasi kepartian dalam wadah Kerajaan Perpaduan adalah pada jiwa dan emosi pemimpin serta penyokongnya.

Amalan 'sokong membawa rebah' sentiasa perlu diawasi. Apakah ramuan diperlukan untuk memperkasakan psikik pengundi UMNO dan DAP supaya tidak wujud amalan 'untung sabut timbul, untung batu tenggelam' untuk menghadapi PRN.

Antaranya adalah kerangka 'persefahaman jentera', pemilihan calon diterima semua, agihan kerusi 'menang-menang' untuk semua, mengelak 'ungkapan' menembak sekutu sendiri dan bertekad duduk bersama dalam Kerajaan Perpaduan bukan untuk sementara, tetapi demi jangka masa panjang.

Jika masing-masing mampu jujur nescaya ada formula dan tawarannya. Persoalannya, bersediakah parti gabungan untuk membina dan menerima 'habitat politik baharu' dengan jenama serta pemasaran luar biasa atas nama Kerajaan Perpaduan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.