https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kontrak KJ disambung hingga hujung tahun

 


KUALA LUMPUR: Selepas tiga bulan bergelar penyampai radio HotFM dengan mengendalikan segmen Bekpes Hot bersama rakan penyampai, AG, Johan dan Fara Fauzana, kontrak bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, 47, disambung hingga Disember depan sejak Isnin lalu.

Ketua Rangkaian Kandungan Hot FM, Digital & Audio+, Shah Hayatudin berkata, tempoh tugasan Khairy atau lebih mesra disapa KJ di konti akan dilanjutkan dari sejam kepada dua jam.

"Berita baik adalah KJ akan bersama dengan Hot FM sehingga hujung tahun ini.

"KJ tetap bertugas pada setiap Isnin, tetapi tempohnya akan dipanjangkan selama dua jam.

"Bagaimanapun, tidak semestinya KJ akan bertugas pada Isnin sahaja. Jika ada program khas memerlukan khidmatnya, KJ akan muncul.

"Sebelum ini, tugas KJ bermula jam 8 pagi, tetapi bermula Isnin lalu, jadualnya dipercepatkan iaitu antara jam 7 hingga 9 pagi," katanya pada sidang media Majlis Rumah Terbuka Hot FM dan Buletin FM, hari ini.

Selain kemunculan KJ dan rakan penyampai Hot FM dan Buletin FM, Majlis Rumah Terbuka Hot FM itu turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran.

KJ bersama rakan penyampai  segmen Bekpes Hot, Fara, AG dan Johan di Majlis Rumah Terbuka Hot FM dan Buletin FM, hari ini. - NSTP/Hazreen Mohamad
KJ bersama rakan penyampai segmen Bekpes Hot, Fara, AG dan Johan di Majlis Rumah Terbuka Hot FM dan Buletin FM, hari ini. - NSTP/Hazreen Mohamad

Sementara itu, Nazri berkata, kemunculan KJ sebagai penyampai radio memberi impak cukup besar kepada stesen radio popular itu.

"Sejak KJ menyertai Hot FM pada Februari lalu, impaknya sangat ketara. Apabila beliau tidak ke udara, ramai pendengar mula tanya-tanya.

"Meskipun wujud banyak platform disebabkan perkembangan teknologi, namun radio tetap ada pengikut tersendiri kerana menyediakan hiburan diperlukan," ujar Nazri.

Mengulas kontrak dilanjutkan, KJ menzahirkan ucapan terima kasih kepada MPA atas kepercayaan yang diberikan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengurusan Hot FM, MPA dan rakan penyampai kerana mengalu-alukan kehadiran saya.

"Memandangkan saya diterima dengan baik, jadi kami sama-sama bersetuju melanjutkan peranan serta penyertaan saya di slot Bekpes Hot hingga hujung tahun ini.

"Saya berharap Hot FM secara keseluruhannya menjadi stesen radio pilihan anda semua," kata KJ.

Pada 15 Februari lalu, MPA mengumumkan Hot FM merekodkan peningkatan 75 peratus pendengar dalam tempoh sejam melalui penstriman langsung digital Hot FM di hotfm.audio dan aplikasi Audio+, berikutan penangan hari pertama KJ melapor diri sebagai penyampai di stesen radio popular itu.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.