PM akan jelaskan isu penarikan rayuan kes kalimah Allah
Tindakan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan mahkamah tinggi kes penggunaan kalimah “Allah” dalam penerbitan penganut Kristian akan dijelaskan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Berdasarkan aturan urusan mesyuarat, perkara berkenaan akan dijawab Anwar pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) sejurus mesyuarat bermula pada jam 10 pagi.
Anwar dijadual berbuat demikian bagi menjawab soalan Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang meminta penjelasan sama ada kerajaan mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu dan berunding dengan majlis agama Islam negeri-negeri sebelum membuat keputusan sedemikian.
Pada 15 Mei, Kementerian Dalam Negeri menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut Kristian boleh menggunakan - bagi tujuan pembelajaran - kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat.
Pada sesi MQT, Rodziah Ismail (PH-Ampang) juga dijadual bertanya mengenai beberapa isu berkaitan tatakelola kerajaan melaksanakan rangkaian Internet 5G, manakala Tan Hong Ping (PH-Bakri) ingin tahu jika masa operasi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) akan dipanjangkan kepada 24 jam.
Turut menjadi tumpuan hari ini adalah soalan Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengenai perancangan kerajaan mengatasi masalah sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) sehingga menyebabkan kesesakan di plaza tol.
Selain itu, Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) pula ingin tahu apakah langkah Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memastikan takwim persekolahan dipatuhi semua pihak dan bilakah tahun persekolahan dapat kembali dimulakan pada awal Januari.
Sejurus selepas sesi soal jawab, Rang Undang-Undang Kesihatan Mental (Pindaan) 2023, Rang Undang-Undang Insolvensi (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-Undang Fi (Jabatan Penyiaran Malaysia) (Pengesahan) 2023 dijangka akan dibaca buat kali kedua dan dibahaskan.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini bersidang selama 11 hari bermula 22 hingga 25 Mei, dan bersambung semula pada 6 hingga 15 Jun ini.
- Bernama
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.