Insentif, geran tarik minat golongan muda ceburi industri perikanan
Oleh Soon Li Wei & Rohani Mohd Ibrahim
Di sebalik pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi meningkatkan penyertaan usahawan muda dalam sektor perikanan, sambutan yang diterima sekadar suam-suam kuku.
Artikel kedua daripada laporan dua bahagian tentang industri perikanan negara ini mengupas inisiatif kerajaan dan cadangan pihak berkaitan bagi menarik golongan muda menceburi industri itu.
KUALA LUMPUR, : Usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi melahirkan golongan pelapis industri perikanan negara setakat ini disifatkan oleh pihak berkepentingan sebagai belum memadai untuk menarik golongan muda menceburi sektor itu.
Dianggap sebagai bidang pekerjaan “3D” (kotor, berbahaya dan sukar), Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) percaya jika kerajaan menawarkan peluang untuk nelayan memiliki perniagaan sendiri termasuk pemilikan bot menerusi geran dan insentif lain, dapat mengubah tanggapan itu.
Menyifatkan skim latihan dan institusi perikanan sedia ada sebagai landasan yang tepat, Pengerusi Nekmat Abdul Hamid Bahari yakin insentif lanjutan tersebut dapat memastikan golongan muda kekal dalam industri itu selepas tamat pengajian.
“Institusi perikanan bukan hanya sebagai tempat menimba ilmu oleh golongan belia, tetapi harus turut disokong dengan insentif lain bagi mengekalkan minat mereka dalam industri, misalnya menawarkan geran (untuk pemilikan bot sendiri).
“Apabila mereka menyedari bahawa industri perikanan ini sebenarnya boleh menjana pendapatan lumayan, maka akan lebih ramai golongan muda menceburi dalam industri tersebut, sekali gus merancakkan lagi ekonomi dan masa depan negara,” katanya kepada Bernama.
Akuakultur
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan boleh menimbang memperluas geran atau pinjaman mudah yang disediakan untuk usahawan tani buat masa ini kepada belia yang berminat memulakan perniagaan dalam industri perikanan termasuk akuakultur.
“Perikanan daratan dan akuakultur merupakan alternatif bagi mereka yang mahu berjinak-jinak dalam industri perikanan tanpa perlu ke laut terlebih dahulu.
“Menerusi cara ini, kita boleh membimbing mereka agar mahir dalam perniagaan sebelum memperluas kegiatan dengan membeli bot dan kelengkapan (perikanan laut dalam) serta mempunyai kru sendiri untuk operasi menangkap ikan.
“Bagi nak tarik minat, ketengahkan nelayan yang sudah berjaya. Ramai juga nelayan jadi jutawan, boleh kongsi cerita kejayaan itu sebagai penyuntik semangat golongan muda ketika mereka mengikuti skim latihan ataupun ketika menuntut di institusi perikanan,” katanya.
Statistik Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) pada 2021 menunjukkan sebanyak 1.75 juta tan metrik ikan bernilai RM14.8 bilion dikeluarkan oleh negara pada tahun berkenaan, merangkumi 76 peratus tangkapan laut (bernilai RM10.8 bilion) dan 24 peratus akuakultur bernilai RM3.43 bilion, dengan 0.1 peratus atau RM93 juta daripada jumlah itu disumbangkan oleh perikanan daratan.
Abdul Hamid berkata kekangan kemahiran laut dalam serta kurangnya minat rakyat tempatan terhadap industri itu secara tidak langsung membuka ruang pekerjaan kepada orang asing, terutama tekong dan awak-awak Thailand, Vietnam, Indonesia dan Kemboja.
“Nelayan dari negara-negara tersebut sanggup bekerja lebih masa kerana mereka mempunyai pengalaman menangkap ikan di laut dalam serta mampu menguasai teknologi canggih yang ada pada vesel atau bot mereka,” katanya, memaklumkan golongan muda berusia 40 tahun ke bawah hanya mewakili 10 peratus daripada ahli Nekmat.
Berdasarkan data DOF setakat April 2023, seramai 12,603 nelayan asing telah memperoleh Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang diwajibkan ke atas mereka bermula 1 Jan 2022, bagi mengelakkan laut dijadikan laluan utama warga asing memasuki Malaysia secara haram.
Bot asing canggih
Dalam pada itu, menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), setiap kali melakukan operasi, ia berjaya merampas hasil laut yang banyak daripada nelayan asing yang menceroboh perairan negara.
Tidak menolak kemungkinan kompromi antara majikan tempatan dan kru asing membuka ruang kepada pencerobohan bot nelayan asing terbabit, pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Madya (Maritim) Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata APMM memandang serius isu pencerobohan bot nelayan asing di negara ini.
Katanya, isu itu bukan sahaja menyebabkan negara kerugian hasil laut bernilai berbilion ringgit saban tahun tetapi juga mengancam keselamatan negara.
“Berdasarkan pemerhatian kami, kebanyakan bot nelayan asing yang berjaya kami tahan adalah bot usang dengan teknologi komunikasi yang kurang baik.
“Tetapi ada juga yang canggih, terutama bot dari Vietnam. Malah, teknologi menangkap ikan mereka juga lebih baik berbanding yang dimiliki oleh bot nelayan tempatan,” ujarnya.
Usaha kerajaan
Ketua Pengarah Perikanan Malaysia Datuk Adnan Hussain berkata bagi menarik lebih ramai belia tempatan menceburi industri perikanan, pihaknya membangunkan modul latihan berkaitan pengoperasian vesel dan penangkapan ikan di institusi dan pusat latihan perikanan.
“Pemodenan vesel dapat menyediakan suasana yang kondusif untuk bekerja, penetapan gaji minimum di samping insentif hasil tangkapan dan hal ehwal kebajikan.
“Elemen gaji atau upah yang setimpal diberikan berdasarkan kelayakan mereka sepertimana yang dilaksanakan dalam sektor perkapalan komersial.
“Selain itu, dilaksanakan program ‘attachment’ pengusaha baharu dengan pengusaha sedia ada, melibatkan syarikat, pengusaha dan usahawan muda dalam kalangan lepasan Kolej Perikanan Sultan Nazrin, Perak dan Akademi Perikanan Malaysia (APM), Terengganu,” katanya.
Menurut beliau, bagi tempoh 2016 hingga 2022, APM telah melahirkan 391 lepasan Sijil Teknologi Perikanan Tangkapan, sementara Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pula mengeluarkan 603 orang lulusan Program Teknologi Perikanan dan Akuakultur Marin.
“Kerajaan, melalui pihak kami, telah memperkenalkan Program Sijil Perikanan pada 2015 sebagai satu bidang pengajian tinggi peringkat sijil yang ditawarkan oleh APM dan institusi pengajian tinggi yang diakreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
“Program selama dua tahun ini menggabungkan pengetahuan akademik dan kemahiran teknikal melalui empat disiplin utama, iaitu perikanan tangkapan, akuakultur, biosekuriti dan produk lepas tuai,” katanya, menambah golongan yang disasarkan ialah mereka yang berusia 17 hingga 30 tahun.
Selain yuran pengajian percuma, peserta juga menerima elaun bulanan sebanyak RM200 sepanjang dua tahun tersebut, katanya.
Adnan berkata bagi menggalakkan pengusaha bot menggunakan tenaga kerja tempatan, kerajaan melaksanakan beberapa program latihan modular dalam pengurusan vesel dan perikanan selama tiga bulan yang ditawarkan oleh Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
“Antaranya, Program Pembangunan Kru Vesel Perikanan Laut Dalam (Pukat Jerut) yang memberi fokus pada modul pembelajaran khusus bagi pukat jerut, modul nilai tambah melibatkan ‘Fisheries Onboard’ (SIKAP) dan kemahiran renang serta amali di vesel pukat jerut selama sebulan.
“Program dilaksanakan bagi menarik warga tempatan yang berumur 17 tahun dan tidak melebihi 40 tahun menceburi sektor perikanan tangkapan.
“Yuran pengajian yang dikenakan kepada peserta adalah percuma dan elaun akan diberikan kepada peserta sebanyak RM200 sebulan sepanjang tempoh pengajian. Makan minum dan penginapan peserta juga adalah percuma,” katanya.
– BERNAMA
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.