‘Jangan larangan berseluar pendek hanya semasa PRN saja
Oleh Dr Rosli Allani Abdul Kadir
Banyak diperkatakan tentang saman yang dikenakan kepada seorang penduduk wanita bukan Islam 35 tahun yang juga pemilik kedai pakaian dikompaun oleh Majlis Perbandaran Bandaran Islam (MPKB-BRI) kerana memakai seluar pendek di kedainya di Jalan Merbau, Kota Bharu, Sabtu lalu
Penjelasan telah dibuat oleh Yang Dipertua MPKB Rosnazli Amin berkenaan kompoun itu yang dibuat bawah 34(2)(b) Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPKB 1985. Undang undang ini menghendaki pemakaian seluar hingga ke bawah lutut kepada peniaga. Tentu sekali ianya mencipta kontroversi dan bakal diperkatakan untuk satu jangkamasa yang lama.
Tindakan ini menjadi perbualan hangat bukan setakat warga Kota Bharu, mahupun Kelantan, malahan dari semua kalangan masyarakat pelbagai kaum di dalam negara dan ini dapat dilihat di medsos.
Dalam konteks negara, langkah langkah untuk mengurangkan ketegangan kaum dan agama serta menjaga suasana yang sejahtera di mana saja sama ada di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak terus cuba diambil dan diterapkan.
Keharmonian yang dipupuk adakalanya diusik oleh satu tindakan yang tidak menunjukkan budi bicara dan teguran awal padahal ia bukannya satu undang undang yang uniform diterimapakai di seluruh Malaysia.
Padahal "agama itu nasihat" untuk sama ingat-mengingati, bukan didahulukan dengan menghukum di saat ekonomi rakyat juga belum pulih dari kesan pandemik. Adakah pihak kerajaan negeri dilihat begitu sekali ingin mencari dan menambah pendapatan di kala pelbagai isu lagi termasuk parking terus menghantui mereka.
Mungkin rakyat tertanya tanya juga undang-undang lain lagi yang dilihat berbunyi pada waktu tertentu, seakan-akan ia dikuatkuasakan bila masuk tempoh pilihan raya sahaja. Undang undang untuk pemakaian ketat, meninggalkan solat Jumaat dan pelbagai lagi yang dibuat sebelum ini seakan sepi, tanpa disandarkan dengan program berterusan mendidik dan penguatkuasaan yang lebih konsisten.
Jangan pula ia dianggap mainan politik dalam menarik undi umat Islam dalam negara hingga seakan-akan kerajaan di Kelantan inilah kubu terakhirnya.
ROSLI ALLANI ABDUL KADIR adalah ahli Majlis Pimpinan Negeri Kelantan, PKR.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.