https://critoxium.com/shop/

Terkini

Projek infrastruktur kecil dipindah ke jabatan lain, pejabat daerah

 


PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata projek-projek infrastruktur kecil seperti membaiki sekolah daif yang kini di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan dipindahkan ke jabatan lain atau pejabat daerah.

"Saya telah bincang dengan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya, projek-projek seperti sekolah daif, klinik daif, baiki tandas tidak perlu lagi membebankan JKR yang mempunyai tanggungjawab terlalu besar.
 
"Pindahkan tugas itu ke jabatan atau ke pejabat daerah," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Jun 2023 di sini hari ini. 
 
Pada masa ini, JKR berperanan melaksanakan projek-projek pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur kepada pelbagai kementerian, jabatan, badan berkanun dan kerajaan negeri seperti jalan, bangunan, lapangan terbang, pelabuhan dan jeti.
 
Jabatan itu juga bertanggungjawab dalam menyelia projek-projek infrastruktur kecil dan pembangunan awam seperti membersihkan longkang, menurap jalan dan membaiki projek-projek kerajaan Persekutuan.
 
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata meskipun projek infrastruktur besar seperti lebuh raya dan tebatan banjir itu penting tetapi bagi rakyat, isu seperti tandas sekolah, parit tepi rumah atau pagar masjid juga penting.
 
"(Ini) termasuk penyaluran bantuan seperti STR (Sumbangan Tunai Rahmah), E-Kasih dan lain-lain, sebab itu saya bagi arahan supaya disegerakan," katanya, sambil menambah beliau bercadang bertemu dengan pegawai-pegawai daerah pada minggu depan berhubung pelaksanaan projek infrastruktur kecil.
 
Anwar dalam masa yang sama juga mahu semua projek rakyat yang sudah diputuskan dan diumumkan, dilaksanakan segera.
 
Beliau berkata perkara itu telah disampaikannya kepada Jemaah Menteri selain perbincangannya di Kementerian Kewangan serta bersama Ketua Setiausaha Negara.
 
Beliau juga mahu semua ketua jabatan melihat kemajuan pelaksanaan projek-projek yang telah diumumkan kerajaan.
 
"Saya menggesa minggu ini semua jabatan lihat apa yang diluluskan, apa yang mula dilaksanakan, apa yang belum dilaksanakan, apakah kerana peruntukan tidak sampai, apakah ditugaskan kementerian-kementerian lain," katanya.
-- BERNAMA

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.