Razarudin IGP baru, Ayob Khan timbalan
erajaan hari ini mengumumkan pelantikan Razarudin Husain @ Abd Rasid sebagai ketua polis negara (IGP) secara kontrak selama dua tahun manakala Ayob Khan Mydin Pitchay pula dilantik sebagai timbalannya.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata, kedua-dua pelantikan itu berkuatkuasa, Jumaat ini dan telah mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong. Ia dibuat dengan nasihat perdana menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.
“Adalah dimaklumkan bahawa seperti yang termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat perdana menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis telah memperkenan pelantikan secara kontrak selepas bersara Razarudin Husain @ Abd Rasid sebagai ketua polis negara selama dua tahun berkuatkuasa mulai 23 Jun 2023 sehingga 22 Jun 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Razarudin berumur 61 tahun, dan dilahirkan pada 15 Mac 1963 di Dengkil, Selangor manakala Ayob Khan kini berusia 57 tahun dan dilahirkan pada 27 Julai 1966 di Kota Setar, Kedah.
"Kerajaan mengucapkan syabas dan tahniah di atas kedua-dua pelantikan itu" kata Saifuddin lagi.
Razarudin menggantikan Acryl Sani Abdullah Sani yang akan mengakhiri tugasnya sebagai ketua polis negara pada Khamis ini, iaitu empat bulan lebih awal daripada yang sepatutnya mengikut kontaknya.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan selepas meninggalkan perkhidmatan dalam PDRM Acryl Sani bakal dilantik mengetuai sebuah institusi di bawah Kementerian Kewangan (MOF).
Razarudin, berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjawat pelbagai jawatan di peringkat negeri dan kontinjen.
Dia memulakan tugasnya pada 1984 di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah sebagai Pegawai Penyiasat dan meneruskan khidmat di jabatan berkenaan sehingga 1996 sebagai Penolong Penguasa Polis (ASP) di Daerah Muar, Johor.
Antara jawatan yang pernah disandang olehnya termasuk Timbalan Penguasa Polis (DSP) dengan memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sandakan; Ketua Polis Daerah Kudat, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) dan Penolong Pengarah D9, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) sebagai Timbalan Komander, Special Task Force On Organise Crime (STFOC), Skuad Taktikal Khas 1 (Jenayah), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Ketua JSJ.
Dia juga pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Timbalan Ketua Polis Perak dan Timbalan Ketua Polis Negara mulai 2021.
Sementara itu, Ayob Khan, pula berkelulusan Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan memulakan tugas pada 1993 di Cawangan Khas Bukit Aman dari pangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) sehingga Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) selama 15 tahun.
Dia kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) dan ditempatkan di Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman sebelum kembali ke Cawangan Khas sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) pada tahun 2016.
Ayob kemudiannya dinaikkan pangkat ke Pesuruhjaya Polis (CP) pada 2020 dan menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Johor sebelum kembali ke Bukit Aman sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik kini sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.