https://critoxium.com/shop/

Terkini

MB pantas bertindak, Selangor bangkit semula selepas bah luar jangka

SHAH ALAM, 22 JUN: Tiada siapa menduga Selangor dilanda banjir besar selepas hujan lebat turun selama tiga hari bermula 17 Disember 2021.

Taburan hujan melebihi 300 milimeter sehari, menyamai jumlah purata sebulan dan fenomena air laut pasang besar menyebabkan air naik di banyak kawasan dalam masa singkat.

Bencana luar biasa itu melebihi kemampuan jentera tindak balas Selangor berhadapan banjir. Tatkala itu, semua persediaan menghadapi monsun timur laut tertumpu di negeri Pantai Timur.

Situasi luar jangka itu diperjelaskan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat, 20 Januari 2022.

Meskipun begitu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pantas bertindak. Beliau memanggil mesyuarat penyelarasan pada 18 Disember sewaktu air sedang naik.

Arahan operasi menyelamat dengan peralatan dan jentera jabatan dibantu tentera, polis dan Pasukan Gerakan Am dikeluarkan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Amirudin Shari meranduk banjir bagi membantu mangsa termasuk ibu, bayi baru lahir dan beberapa warga emas di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Muda, Seksyen 23, Shah Alam pada 19 Disember 2021. Foto Radin Wazir

Amirudin sendiri turun padang membantu menyelamatkan mangsa di Taman Sri Muda, Shah Alam iaitu kawasan paling teruk terjejas. Bah besar itu mengorbankan 25 nyawa. Lebih 200 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Pada 21 Disember, Amirudin mengumumkan Bantuan Selangor Bangkit dengan dana RM100 juta. Antara bantuan ialah RM1,000 bagi setiap keluarga mangsa banjir dan RM10,000 bagi waris mangsa meninggal dunia.

Mangsa banjir (dari kanan), Koh kok sian, 54, Sahrulnizam mayasin, 49, dan Alagendran Rengasamy, 55, menunjukkan sampul Bantuan Selangor Bangkit (BSB) yang diterima di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah Klang, Klang pada 23 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Setakat 7 Mac 2022, 115,852 keluarga menerima bantuan RM1,000 dengan peruntukan sebanyak RM115,852,000. Manakala 14 keluarga korban banjir pula masing-masing menerima RM10,000 dengan jumlah keseluruhan RM140,000.

Apabila banjir surut, fasa pemulihan berskala besar giat dilaksana. Agensi negeri, KDEB Waste Management (KDEBWM) menerajui pengurusan sisa banjir membersihkan kawasan terjejas pada kadar segera.

Pulih infrastruktur

Kerja pembersihan pasca banjir oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 3 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sebanyak 48,589.95 tan metrik sisa bah dibersihkan agensi itu. Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp WM) pula mengangkut 33,200 tan metrik sisa. Keseluruhan, 141,186.84 tan metrik sisa dibersih KDEBWM dan pihak berkuasa tempatan.

Pelbagai agensi kerajaan pusat dan negeri, badan bukan kerajaan, persatuan serta kumpulan tampil membantu kerja membersihkan kediaman mangsa.

Antaranya, lebih 1,700 sukarelawan Team Selangor dan 4,783 Sukarelawan Selangor (SERVE). Selain itu, setakat 4 Januari, 876 buah rumah dibaik pulih dan 32 lagi dibina baharu.

Anggota Majlis Bandaraya Shah Alam, Jabatan Agama Islam Selangor, tentera, polis, bomba, petugas Istana Negara serta sukarelawan membersihkan Masjid Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam yang terjejas akibat banjir pada 25 Disember 2021. Foto Twitter MBSA

Seramai 921 usahawan Hijrah terkesan diberi pengecualian bayaran balik pinjaman selama dua bulan dengan impak kewangan sebanyak RM15 juta. Selain itu, pengecualian bayaran bil air selama sebulan juga diberi.

Seramai 250 petani terjejas menerima RM500,000 daripada Kerajaan Negeri, selain bantuan Kerajaan Persekutuan yang disalurkan terus.

Mengambil iktibar banjir terbesar, beberapa langkah menangani bencana terbabit diambil.

Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari melihat pelan susun atur projek mendalamkan sungai ketika majlis perasmian Projek Mendalam dan Melebarkan Tebatan Banjir Sungai Klang di Kota Kemuning, Shah Alam pada 1 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pada 4 April 2022, Kerajaan Negeri mengumumkan RM700 juta bagi kerja mendalamkan Sungai Klang mengatasi masalah banjir selain merancakkan ekopelancongan dan memudahkan pengurusan air.

Sebanyak RM10 juta diperuntuk melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor menaik taraf sistem saliran di kawasan itu. Projek itu dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2023.

Pada 24 Disember 2021, Amirudin menjelaskan Kerajaan Negeri memperuntuk RM60 juta bagi rancangan tebatan banjir melibatkan Jalan Sungai Rasah dan Jalan Padang Jawa yang menjadi titik panas lokasi banjir.

JPS Selangor juga membuat permohonan tambahan kepada persekutuan sejumlah RM1.3 bilion bagi melaksanakan lima lagi projek mengekang bah. Antaranya kawasan Taman Sri Muda, Jalan Meru dan Damansara.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.