https://critoxium.com/shop/

Terkini

Usah buat ucapan cetus perbalahan, ketegangan, nasihat menteri


PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar menyeru semua pihak lebih bertanggungjawab dan tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan ucapan boleh mencetus perbalahan, ketegangan serta kegelisahan dalam kalangan masyarakat.

Ia termasuk mengeluarkan kenyataan menyentuh urusan agama Islam dan kefatwaan.

Beliau berkata, sebarang perkara membabitkan urusan agama, khususnya dalam bidang akidah dan syariah hendaklah diserah serta dirujuk pihak berkuasa agama Islam negeri dan ilmuan yang diperakui kepakarannya dalam disiplin ilmu itu.

“Semua pihak dimohon menghentikan perbalahan serta persengketaan yang boleh memusnahkan perpaduan dan keamanan negara. Semua pihak perlu bersatu hati untuk membangunkan negara agar lebih maju, makmur, berdaya saing dan aman sentosa,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menjunjung tinggi titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang menggesa semua pihak, khasnya pemimpin politik agar mengambil tanggungjawab memperkukuh perpaduan demi kesejahteraan negara.

Katanya, semua pemimpin perlu akur dan menghayati titah Sultan Sharafuddin sepenuh hati supaya tidak memperalatkan agama bagi meraih sokongan dan akhirnya, rakyat menjadi mangsa kepada perbalahan ahli politik.

Pada 12 Sept lalu, Sultan Sharafuddin bertitah rakyat khususnya pemimpin politik segera menghentikan perbuatan mengeluarkan fatwa secara tidak bertanggungjawab demi memelihara perpaduan rakyat.

Titah Sultan Selangor, baginda tidak sanggup melihat rakyat berpecah-belah disebabkan tindak-tanduk sesetengah pemimpin politik tidak bertanggungjawab, namun ini tidak bermaksud baginda menyebelahi mana-mana pihak atau parti.

Na’im berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menggerakkan semua agensi untuk memperkukuh kesatuan dan perpaduan umat Islam melalui pelbagai usaha serta inisiatif, termasuk memperkasa peranan institusi masjid dan surau sebagai pusat penyatuan ummah.

Katanya, dalam konteks kemajmukan masyarakat, jabatan itu melaksanakan program dialog antara tamadun dan budaya untuk memupuk kebersamaan serta sikap saling menghormati.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.