198 rakyat Palestin terbunuh, penduduk di Gaza risau tentang malam yang panjang
SEMPADAN GAZA: Penduduk Palestin di Bandar Gaza risau tentang malam yang bakal mereka tempuhi sebelum hari pertama pertempuran antara Pejuang Hamas dan Briged Al-Qassam dengan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berakhir, sambil menyifatkannya sebagai malam yang ‘panjang’.
Agensi berita Al-Jazeera melaporkan, penduduk berkenaan risau susulan serangan jangka masa panjang Israel akan mensasarkan serangan udara ke kawasan awam dan perumahan.
Di beberapa kawasan luar bandar yang berhampiran dengan sempadan, media melaporkan, penduduk di kawasan tersebut dinasihatkan untuk mengosongkan kediaman dan pergi ke tempat jauh, susulan ketegangan yang semakin meningkat.
“Kami tidak pernah melihat gambar atau video yang menunjukkan pejuang Palestin berjaya melepasi sempadan seperti ini, sebelum ini. Kami berharap ada kemungkinan untuk mendapatkan kembali tanah yang diduduki mereka secara haram, tetapi kami juga risau dengan serangan balas rejim zionis,” kata Munis Nasser, seorang peniaga runcit di Gaza.
Setakat jam 11 malam (waktu Malaysia), jumlah kematian rakyat Palestin akibat serangan balas Israel meningkat kepada 198 orang, manakala 1,600 lagi dilaporkan cedera.
Sementara itu 100 orang penduduk Israel dilaporkan terbunuh termasuk Datuk Bandar Sha’ar Hanegev, manakala lebih 900 orang tercedera.
Jurucakap Kementerian Luar Palestin dilaporkan sebagai berkata, penamatan pemilikan penempatan secara haram oleh Israel di tanah Palestin adalah satu-satunya jaminan untuk keselamatan, kestabilan, dan keamanan.
Dalam satu kenyataan, kementerian tersebut berkata, pejuang Palestin telah beberapa kali memberi amaran tentang kemungkinan yang bakal terjadi sekiranya Israel berterusan merampas tanah, dan melakukan tindakan provokasi seperti menyerbu Masjidil Al-Aqsa.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.