https://critoxium.com/shop/

Terkini

Israel tolak gencatan senjata, kita akan berperang, kata Netanyahu


Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengesahkan bahawa tiada gencatan senjata dalam perang ke atas Palestin.

Ini di sebalik amaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa bantuan tidak mencukupi untuk memenuhi ‘keperluan kemanusiaan yang belum pernah terjadi’.

Dalam taklimat kepada media asing, Netanyahu berkata, gencatan senjata adalah seperti menyerah kepada Hamas, yang didakwanya sudah membunuh 1,400 warga Israel dan menjadikan lebih 230 lagi sebagai tebusan.

"Gesaan untuk gencatan senjata ialah seruan untuk Israel menyerah kepada Hamas, menyerah kepada keganasan.

“Ini tidak akan berlaku, kita akan berperang," katanya yang berikrar Israel akan 'berjuang sehingga menang pertempuran'.

Sementara itu, AFP melaporkan sekutunya, Amerika Syarikat (AS) juga membantah gencatan senjata.

“Kami tidak percaya gencatan senjata adalah jawapan yang betul sekarang,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara, John Kirby.

Dia bagaimanapun berkata, bahawa ‘berhenti seketika’ untuk mendapatkan bantuan ke Gaza harus dipertimbangkan.

Israel ketika ini sedang menghantar kereta kebal ke pinggir bandar Gaza, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai krisis kemanusiaan yang semakin meluas.

Kirby berkata, Washington juga ‘yakin’ akan berlaku peningkatan bilangan trak bantuan ke Gaza kepada sekitar 100 sehari melalui persimpangan Rafah dengan Mesir.

Sementara itu, media tempatan yang memetik Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas melaporkan bahawa angka kematian rakyat Palestin akibat serangan tentera Israel ke atas Semenanjung Gaza meningkat kepada 8,306.

Daripada jumlah itu, seramai 3,457 mangsa terdiri kanak-kanak, manakala 2,136 wanita.

Sementara itu, sejumlah 21,048 rakyat Palestin pula dilaporkan cedera akibat serangan udara yang berterusan daripada rejim Zionis.

Ia menyatakan, sebanyak 25 hospital terpaksa menangguhkan perkhidmatan kerana pengeboman Israel di Semenanjung Gaza dan 25 ambulans disasarkan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.