https://critoxium.com/shop/

Terkini

Jangan tuding jari, bukan anda tak tahu ‘lompong’ Akta Lompat Parti, kata Wan Junaidi


PETALING JAYA: Wan Junaidi Tuanku Jaafar menasihatkan semua pihak tidak menuding jari atas kelompongan Akta Lompat Parti kerana semua parti sedia mengetahui “kelemahannya”.

Beliau yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan undang-undang) merujuk peruntukan “wakil rakyat perlu mengosongkan kerusinya jika melanggar prinsip parti serta tidak mengikut pendirian parti di Parlimen”, yang ditolak.

Baru-baru ini, bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin mendedahkan menteri Bersatu dalam pentadbiran Ismail Sabri Yaakob, yang berada dalam Perikatan Nasional (PN) kini menolak peruntukan tersebut.

Wan Junaidi berkata, beliau telah meramalkan apa yang akan berlaku semasa akta itu sedang dirangka dan bertegas mahu memasukkan klausa yang menyatakan bahawa Ahli Parlimen yang melanggar kehendak parti akan kehilangan kerusi mereka secara automatik.

“Jawatankuasa pemilihan berbincang hampir dua bulan maka RUU (Akta Lompat Parti) dapat (diluluskan) tapi dua syarat iaitu melanggar arahan parti dan melanggar arahan Whip digubal, digugurkan berlandaskan untuk dapat kelulusan di Dewan Rakyat.

“Jadi kalau Perikatan Nasional tak sokong, dua pertiga tak dapat dicapai. Kerana itulah RUU sekarang dikatakan ada kelemahan, bukan kerana jawatankuasa tak tahu.

“Kita tahu, sudah diberi amaran awal-awal lagi dari September 2021,” katanya menurut Buletin Awani.

Pada 9 Nov, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mendakwa undang-undang lompat parti sebagai cacat dan perlu dikaji semula. Katanya, terdapat kelemahan yang boleh dieksploitasi parti politik.

Terdahulu, empat Ahli Parlimen Bersatu telah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim melibatkan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Zahari Kechik (Jeli).

Mereka mengisytiharkan demikian namun bertegas masih kekal setia bersama parti.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.