https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pabila PAS tak ada pas


Oleh Mohsin Abudllah

Harusnya artikel ini bertajuk “pabila Harakah tidak ada pas”. Namun oleh kerana Harakah milik PAS tajuk yang saya pilih tidak salah. Its technically right. Harakah sebahagian daripada parti dan merupakan lidah rasmi PAS. ‘Harakah itu PAS’ dan ‘PAS itu Harakah’.

Kisah bermula apabila akreditasi yakni pas media keluaran Jabatan Penerangan untuk Harakah dibatalkan tempoh hari. Tindakan dikata ada kaitan dengan penulisan Harakah 6 Okt lalu yang melapor Ketua Dewan Ulama PAS Ahmad Yahya mendakwa kerajaan mengubah nada berhubung perjuangan kemerdekaan Palestin untuk “mengikut naratif yang ditetapkan Israel dan Barat”. Mengiringi artikel itu gambar perdana menteri dengan bendera Israel di belakangnya manakala bendera Palestin diletak di sisi Ahmad.

Sama ada tindakan Jabatan Penerangan (baca: kerajaan) menarik balik pas rasmi media daripada Harakah wajar atau tidak terpulang interpretasi masing-masing. Tindakan itu dikritik keras pertubuhan media termasuk Gerakan Media Merdeka dan juga Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia. Harakah diberitakan akan membuat rayuan. Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil pula dilapor berkata kerajaan “bersedia memaafkan” Harakah. Sehingga kini belum ada perkembangan lanjut isu ini.

Sementara kita tunggu dan lihat apa yang akan terjadi, saya mengajak anda imbau kembali laporan Malaysiakini bertarikh 7 Okt lalu. Laporan itu memetik Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhil Shaari menyifatkan apa yang dikenakan ke atas Harakah “satu tindakan yang tidak pernah akhbar Harakah alami sejak daripada zaman ‘maha zalim’ tak pernah diambil kad media.”

Difahamkan “maha zalim” yang disebut Fadhil merujuk kepada era pemerintahan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri keempat. Mahathir memegang jawatan perdana menteri keempat daripada 1981 hingga 2003. Saya tidak pasti bila Harakah diberi kad media rasmi kerajaan. Seorang kawan lama yang pernah bertugas di Harakah (1987 – 1993) tidak ingat tetapi kata beliau pernah meminta bosnya “buatkan pas supaya wartawan Harakah dapat masuk ‘pc’ (press conference) kerajaan. Tak ada pas tu tak boleh masuk.”

Kata beliau lagi “dulu buat pas kena isi borang bagi gambar dan surat penerbit kat Jabatan Penerangan”. Kawan saya ini tidak tahu sama ada Harakah waktu itu ada membuat permohonan atau tidak. Seorang lagi kawan yang bertugas di Harakah bermula 1987 dan berhenti 2013 berkata “seingat saya tak ada. Pakai name card Harakah je”. Merujuk kad yang dikeluarkan Harakah kepada kakitangan.

Yang saya tahu pas rasmi atau perakuan media ialah untuk membolehkan petugas media bergerak bebas semasa menjalankan tugas. Pihak berkuasa seperti polis umpamanya senang memberi kerjasama. Itu secara ringkas. Pas dikeluarkan kepada organisasi media tetapi kerajaan suatu waktu dulu tidak melihat Harakah betul-betul media atau ‘media tulen’. Harakah dikategori sebagai media parti yang hanya patut menerbitkan berita parti, seperti Suara Merdeka milik Umno masa lalu. Cuma oleh kerana Harakah suara pembangkang ia menghadapi pelbagai cabaran dan tekanan. Di muka depan akhbar Harakah wajib beritahu akhbar itu untuk ahli PAS sahaja.

Walaupun mematuhi peraturan itu Harakah tidak mengendahkan arahan menyiar berita parti sahaja. Ia menyiarkan perkembangan politik tanah air bukan sekadar aktiviti parti, umpamanya pada era reformasi lewat 1990-an. Berita Anwar Ibrahim dilapor secara meluas. Hasilnya bukan sahaja jualan akhbar Harakah melonjak, ia juga membuka jalan untuk Harakah menceburi arena berita dalam talian termasuk penyampaian berita video.

Harakah waktu itu sememangnya ‘berperang’ dengan kerajaan dan tidak disenangi Mahathir. Apa pun hakikatnya Harakah akhirnya diberi kad media daripada Jabatan Penerangan. Ini amat menggembirakan mereka kerana dilihat mendapat pengiktirafan kerajaan sebagai ‘media tulen’.

Seperti dikata tadi saya tidak pasti bila Harakah dapat pas rasmi media daripada kerajaan. Adakah pada penghujung pemerintahan Mahathir, atau di zaman Pak Lah Badawi? Najib Razak mungkin? Maaf saya tidak ada ada jawaban. Pertanyaan yang diaju kepada beberapa sumber menemui kebuntuan. Carian di Google juga tidak membantu.

Namun diteruskan juga penulisan ini dengan bertanya apa keistimewaan pas rasmi media kepada Harakah? Sebenarnya bukan sahaja buat Harakah. Apa istimewanya kepada semua media?

Setahu saya pas itu sesuatu yang ‘encompassing‘. Si pemegang pas dan pertubuhan yang diwakili terlebih dahulu ‘disiasat’ serta ‘diteliti’ pihak berkuasa. Hanya setelah berpuas hati dengan hasil selidikan and everything is in order, pas dikeluarkan. Ertinya si pemegang pas dan pertubuhannya mendapat perakuan kerajaan.

Maka pas itu membolehkan si pemegang menjalankan pelbagai liputan. Begitulah sepatutnya tetapi yang berlaku sebaliknya. Jika ada lawatan rasmi pembesar luar negara, pas khas dikeluarkan khusus untuk liputan. Persidangan besar seperti sidang kemuncak APEC atau Asean, pas khas dikeluarkan juga. Hanya orang media yang ditugaskan oleh majikan masing-masing akan diberi pas untuk tujuan tertentu.

Perhimpunan agung parti politik pun begitu. Muktamar PAS pun ada keluarkan pas media khas. Untuk sesi sidang Parlimen, petugas media diminta deposit pas rasmi media dan diganti dengan pas khas Dewan Rakyat untuk membuat liputan. Maksudnya lain acara lain pas. Ertinya pas rasmi media keluaran Jabatan Penerangan seakan tak laku.

Jadi apa maknanya pas itu?

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.