https://critoxium.com/shop/

Terkini

Rafizi dakwa pemimpin PN enggan bersemuka di podcast YBM

 


Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mendakwa beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) telah menolak undangannya ke podcast ‘Yang Bakar Menteri’ (YBM) kelolaannya.

Selain daripada pempengaruh ‘YB Viral’, mereka yang menolak termasuk Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Ahli Parlimen Pendang Awang Solahuddin Hashim dan aktivis peguam, Hawa Yaakob dan Sufi Kamari.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

“Walaupun pejabat saya telah menghubungi ramai pemimpin dan aktivis maya PN yang berpotensi untuk membakar saya dalam podcast YBM, sehingga kini semuanya telah menolak.

“Saya tidak akan putus asa dan akan terus menghubungi lebih ramai pemimpin dan aktivis maya PN untuk menyahut cabaran membakar saya secara langsung. 

“Jangan hanya berani mengkritik di belakang tetapi tidak berani memberi pandangan membina di depan,” ciapnya di platform media sosial X hari ini.

Pempengaruh, yang dikenali dengan nama YB Viral, telah menolak pelawaan Rafizi untuk muncul di podcast itu dengan alasan bahawa cabaran debat asal telah dikurangkan menjadi sesi "soal jawab".

Sebelum ini, Rafizi berkata jemputan kepada YB Viral adalah peluang kedua-dua pihak berkongsi pandangan dan mengemukakan fakta kepada umum.

Dia juga menyatakannya sebagai peluang untuk pempengaruh itu membuktikan bahawa dia adalah "menteri paling bodoh" seperti yang didakwa.

Rafizi menambah, beberapa pemimpin PN menggunakan alasan kehadiran bekas pemimpin Pakatan Harapan secara sukarela menyertai podcast itu, sebagai alasan untuk menolak pelawaannya.

“Matlamat podcast YBM ialah memberi keutamaan kepada penyokong dan pemimpin PN untuk bersemuka, supaya rakyat dapat menilai sendiri hujah kerajaan berbanding pembangkang. 

“Pemimpin PH (atau bekas pemimpin pun) memang sudah ada peluang untuk menyampaikan pandangan kepada saya, sama ada melalui saluran kerajaan atau parti. 

“Ada yang memang sudah ada saluran sendiri pun untuk menyampaikan kepada rakyat. Mengisi ruang di podcast YBM samalah seperti memberi bola tanggung kepada pembangkang untuk mengalihkan isu dengan mengapi-apikan sesama PH,” katanya.

Memandangkan tiada sambutan daripada pemimpin PN, ahli Parlimen Pandan itu berkata dia akan juga memberi ruang kepada mereka yang membangkang, atau kritikal kepada pendekatan kerajaan.

Dalam episod malam ini, Rafizi akan mengundang ahli akademik Barjoyai Bardai yang pernah menyuarakan kritikan terhadap menteri itu pada masa lalu.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.