https://critoxium.com/shop/

Terkini

Konflik dalaman BERSATU boleh jejas PN - Takiyuddin


KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) menyifatkan isu dalaman BERSATU termasuk pemecatan beberapa pemimpinnya baru-baru ini, menjejaskan parti terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Justeru, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata semua pihak dalam PN perlu mengekalkan kestabilan dan fokus terhadap matlamat sama.

"Itu isu dalaman, saya tidak ada maklumat untuk mengulas mengenai pemecatan beberapa pemimpin BERSATU.

"Bagaimanapun, mana-mana organisasi, baik pertubuhan atau parti politik yang mempunyai krisis dalaman sudah tentu menjejaskan aktivitinya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Pasar Berek 12 oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud di sini, hari ini.

Takiyuddin turut meminta rakan dalam gabungan PN memberi tumpuan ke arah memperkukuh perpaduan dan kestabilan politik sesama mereka.

"Ia bukan hanya BERSATU kerana ada juga parti lain yang berdepan beberapa isu dalaman.

"Ini bukan masa sesuai berdepan masalah, sebaliknya kita perlu menstabilkan kedudukan masing-masing dan berharap semua perkara ini dapat diselesaikan dengan baik," katanya.

Minggu lalu, Lembaga Disiplin BERSATU memecat keahlian Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, dan menggantung keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, selama sepenggal.

Ia susulan isu Akuan Bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran presiden parti itu sebelum ini.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.