Masa berjalan, selera berubah. Hidup ibarat roda.
Oleh Rosssem
Saya orang kampung
. Zaman dahulu rumah orang Melayu mengadap sawah. Bangun pagi lihat sawah. Padi menguning rezeki pak tani bertambah.
Sore, musim panas, anak- anak bermain sepak raga di relung bendang. Sebahagian bermain wau.
Malam usai mengetam, dihidangkan dengan persembahan dikir barat dan wayang kulit. Hiburan pak tani setelah penat lelah bekerja bendang.
Remaja- remaja mula menyebut nama seniman Osman Gumanti, aktor Melayu hebat ketika itu.
Raj Kumar, bintang filem Hindustan juga tidak ketinggalan menjadi bualan sambil duduk di batas relung sawah.
Musim tengkujuh tahan tembilar dapat ikan sepilar masak paih. Tahan tauk dapat ikan haruan, bakar tawar cercah budu, sedap ... tok mentua lalu belakang pun tak nampak.
Ikan puyu, ikan sepat masuk goreng pecah selera.
Setelah bendang dicemari dengan pelbagai kimia seperti baja padi dan racun lalang, ikan- ikan pun kehilangan habitat akhirnya pupus. Tiada lagi haruan, puyu, sepilar, sepat. Yang tinggal ialah kenangan masa lalu.
Selepas merdeka, orang Melayu mula membina rumah mengadap jalan raya, kerana rezeki mereka di jalan raya. Menjadi pemandu teksi, beca roda tiga, buka premis perniagaan dan kerja pejabat.
Masa berjalan, selera berubah. Hidup ibarat roda. Sekarang ramai pula yang bina rumah di sawah bendang, katanya lebih nyaman, panorama indah nian, udara bersih dan terhindar dari bising kereta bertali arus di jalan raya.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.