Bagaimana Sentimen Kaum dan Agama Merebak dalam Masyarakat
Oleh Fathi Aris Omar
Kalau kita hendak kenal naluri perkauman dan pembenci agama lain, baik di dalam diri sendiri, rakan kita atau media sosial, baca coretan ini.
Sentimen agama dan perkauman mudah merebak hingga sukar dibendung kerana golongan kecil penghasut lebih aktif, lebih semangat dan lebih riuh daripada mereka yang ajak bertenang.
Majoriti rakyat rata-ratanya prodamai, rasional dan lebih bertenang tetapi mereka umumnya pasif, tidak rancak menyebarkan sikap dan pandangan.
Tetapi sejumlah kecil pembenci kaum/agama lain cukup aktif menghasut, khususnya di media sosial.
Bukan sahaja menyebar pandangan ekstrem dan senget tetapi anggap mereka yang ajak bertenang sebagai pengkhianat yang bacul, enggan melawan.
Seruan bertenang, ajakan berfikir rasional dan teliti melihat sesuatu kontroversi dianggap tolak ansur yang merugikan kaum/agama sendiri; dikatakan punca bangsa lain akan makin berani menghina! Sedangkan dalam suasana kecoh atau keliru, kita perlu bertenang, tidak tergopoh-gapah membela kaum sendiri atau menyalahkan pihak lain.
Kita perlu maklumat lengkap atau gambaran menyeluruh dahulu sebelum buat tanggapan. Tetapi selalunya sikap ini tidak mudah dihayati.
Sewaktu kegeraman membuak-buak, atas curiga dan benci yang sudah tertanam, maka keberangan ini jadi meluap-luap. Semua ini tenaga bergelora.
Tenaga inilah yang bergerak di media sosial, di rumah ibadat, di warung, di meja makan keluarga dan merebak ke mana-mana sang penghasut pergi.
Namun tenaga ini tidak datang daripada kontroversi. Bukan kerana stokin berlabel Allah, notis di gerai jagung atau tiga DJ radio. Bukan.
Tenaga ini sudah tersimpan lama dalam kecurigaan, kebencian, pandangan senget atau rasa meluat terhadap kaum atau agama lain. Sudah sebati dan tertanam dalam psikologi seseorang.
Prasangka, rasa menyampah dan geram itu sudah ada. Kadang-kadang dari pengalaman peribadi di tempat awam, di pejabat, ketika berurusan, daripada berita dan cerita kawan-kawan.
Lalu apa sahaja peristiwa, isu atau kontroversi kaum/agama akan trigger (mencetuskan) ingatan atau psikologi yang tertanam di dalam diri. Dalam teori kiri, Louis Althusser istilahkan "interpellation".
Dalam pengamatan saya, daripada komen atau reaksi kenalan dan pengguna media sosial, saya ringkaskan latar perasaan dan fikiran yang kita boleh label sebagai penghasut kaum/agama.
1. Kita rasa bangsa/agama kita itu mulia, maka kaum/agama lain perlu menghormatinya. Tidak salah rasa begini. Semua orang ada perasaan ini, rasa kekitaan dalam sesuatu kelompok/kawasan.
2. Tetapi rasa mulia itu mula bermasalah apabila kita anggap orang lain tidak setara atau tidak setaraf. Lebih berbahaya, kita rasa orang lain itu lebih lekeh, lebih rendah, lebih inferior.
3. Kita rasa silap atau lemah berbuat baik pada bangsa/agama lain. Kalau kita berlembut, berpada-pada, bertolak ansur atau memberi ruang, bangsa/agama lain tetap tidak balas dengan baik.
4. Kita rasa kaum atau agama lain terlalu menonjol, dominan, atau mula menguasai. Kita nampak mereka makin "naik tocang" melalui gelagat mereka atau desakan mereka.
5. (Seperti disebut pada perenggan empat di atas) sesiapa dalam kalangan kelompok sendiri akan dianggap bacul, mengkhianati kaum/agama sendiri, atau tunduk pada kaum/agama lain jika kita tidak sama-sama bersetuju dengan idea penghasut.
6. Bagi mereka yang ada kepentingan politik, mereka nampak penguatkuasa atau kerajaan sekarang lebih gagal mengawal keadaan. Mereka rasa dulu-dulu keadaan tidak seburuk ini tetapi sejak PH memimpin, keadaan semakin menjadi-jadi. Tanggapan ini subjektif dan nisbi tetapi dirasa-rasakan cukup benar dan sahih. Tersirat di sebalik tanggapan ini, partinya yang lebih layak mentadbir; bukannya cuba melihat sesuatu isu kaum/agama lebih objektif untuk penyelesaian.
7. (Berkaitan dengan isi 5 di atas tadi) penghasut rasa dirinya, partinya atau kelompoknya selalu benar. Oleh itu orang lain sesama kaum/agama mesti menyokong pandangannya. Malah penguatkuasa, polis, PBT atau kerajaan mesti tunduk pada saranan dan desakannya. Tidak kisahlah idea senget atau cetek tetapi dirasa benar.
8. Semua penghasut, pembenci atau orang yang tebal semangat perkauman (racist) mahu kerajaan bertindak tegas.
Tegas di sini maksudnya ikut selera dan kepentingan kaum/agama yang memberi kelebihan kepada kaum/agamanya. Tidak fikir yang lain.
Bukannya mencari jalan damai yang sepadan atau setara dengan sesuatu masalah. Kerana sesuatu isu itu rumit, khusus dan contextual, maka setiap langkah atau tindakan tidak mestinya sama dan serupa.
Misalnya, mengawal kesesakan ketika perarakan Thaipusam setahun sekali dengan kesesakan jalan ketika solat Jumaat setiap minggu.
Misalnya lagi, isu ham dan tanda halal di KK Mart tidak sepenuhnya sama dengan DJ radio Era FM, begitu juga tulisan di gerai jagung dengan imej bendera China, di Johor atau di Pulau Pinang.
9. Seperti orang ramai juga, penghasut selalu berhujah kaum/agamanya mesti dibela dan menikmat layanan adil. Tetapi layanan buruk atau tidak wajar pada kaum/agama lain tidak dipeduli.
Mereka lebih suka melihat keselesaan kaum/agama sendiri dan tidak ada rasa mahu simpati atau kasih sayang pada kaum/agama lain. 2m Balas Pengarang Fathi Aris Omar Azlanar Al-Banjari Banjar kaum sejagat 1m Balas





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.