Kes tuntutan Sulu bukti mengapa Kedah tak boleh tuntut P Pinang, kata KM
KUALA LUMPUR: Kegagalan waris Sulu membuat tuntutan terhadap Sabah membuktikan naratif sejarah tidak boleh mengatasi kedaulatan berperlembagaan, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang mengaitkannya dengan tuntutan Kedah.
Dalam perbahasan di Dewan Rakyat hari ini, Chow (PH-Batu Kawan) menyatakan pendirian undang-undang kerajaan Malaysia yang konsisten dalam isu Sabah telah menetapkan rujukan yang jelas: kedaulatan sesebuah negeri ditentukan Perlembagaan Persekutuan, bukannya perjanjian pra-merdeka atau sejarah silam.
“Ini membuktikan secara tegas kedaulatan Sabah ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan, pembentukan Malaysia pada 1963 dan pengiktirafan antarabangsa,” katanya ketika membahaskan titah diraja.
Chow berkata Pulau Pinang telah menjadi sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia sejak mencapai kemerdekaan pada 1957, dan kedudukan itu diperkukuh lagi melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau turut menegaskan sempadan negeri telah dimuktamadkan melalui Akta Kedah dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) 1985, yang diluluskan Parlimen di bawah Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam sistem persekutuan, sempadan negeri tidak boleh diubah sewenang-wenangnya, apatah lagi melalui kenyataan politik, tanpa melalui proses undang-undang yang sah,” katanya.
Beliau turut mengingatkan melayan tuntutan sedemikian bercanggah dengan semangat federalisme dan berisiko mencetuskan ketidakstabilan pada masa depan.
Menteri Besar Kedah Sanusi Nor sebelum ini menegaskan Pulau Pinang adalah milik Kedah, dengan merujuk kepada pajakan pada 1791 kepada British.
Beliau juga telah membentuk pasukan perundangan yang terdiri daripada ahli sejarah dan peguam untuk membawa tindakan mahkamah berhubung apa yang disifatkannya sebagai ‘hak sejarah’.
Kerajaan Pulau Pinang pula menegaskan bahawa wilayah berkenaan telah diserahkan secara berkesan selepas kemerdekaan.
Chow turut menyokong seruan Yang di-Pertuan Agong supaya perbezaan diselesaikan secara matang tanpa kebencian atau prasangka, sambil menggesa retorik politik yang tidak membawa manfaat kepada rakyat dihentikan.
Sebaliknya, katanya, tumpuan perlu diberikan kepada pembangunan ekonomi dan peningkatan taraf hidup rakyat, termasuk cadangan Pulau Pinang untuk menubuhkan Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang (PIFC).
Menurut Chow, pusat kewangan itu bukan bertujuan menyaingi Kuala Lumpur sebagai hab kewangan utama negara, sebaliknya melengkapi peranannya dengan memberi tumpuan kepada bidang khusus seperti aset digital, teknologi kewangan (fintech) dan perkhidmatan kewangan berkaitan sektor pembuatan.
“Justeru, Pulau Pinang berharap kerajaan persekutuan akan mempertimbangkan permohonan ini dan bekerjasama bagi merealisasikan penubuhan PIFC,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan menyatakan Putrajaya belum mempunyai rancangan untuk menggerakkan projek itu.
Namun, kerajaan Pulau Pinang terus meneruskan perbincangan berkaitan cadangan itu.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.