Donald Trump sahaja yang jujur dan lurus
Oleh Fathi ARis Omar
Dalam ramai-ramai pemimpin Amerika Syarikat, Donald Trump sahaja yang jujur dan lurus. Dia cakap terus terang dari jiwa kuasa besar itu.
Tanpa menyorok dalam bahasa diplomasi, tanpa sembunyi niat sebenarnya dan tanpa teragak-agak memulas lengan, membuli kawan dan lawan.
Trump memang tidak disukai ramai. Tetapi dialah yang paling jujur. Dialah presiden Amerika Syarikat yang tidak bertopeng retorika hak asasi, slogan kerjasama antarabangsa atau pakatan ekonomi. Trump menunjukkan wajah sebenar Amerika Syarikat. Tanpa topeng apa-apa. Wajah tanpa solekan bahasa basa-basi. Kuasa juga mentah.
Sesiapa yang melihat Trump hari ini dapat intai Amerika Syarikat yang tersembunyi selama ini. Tiada lagi langsir nipis atau tirai tebal di pentas.
Trump memang celaka. Seperti celakanya Amerika Syarikat dulu-dulu. Tetapi dahulu, muka mereka tersenyum, bahasa mereka berlapik dan berputar. Tetapi tidak lagi zaman Trump.
Dia telah membogel rahsia kuasa Rumah Putih. Di depan warga Amerika Syarikat sendiri, di depan sekutu terdekatnya sendiri. Dan, kepada kita semua.
(ii)
Trump ini semacam satu tanda zaman baharu, zaman yang kita tidak pernah kenal tetapi menakutkan. Kita hanya baca dalam sejarah. Dia satu daripada tanda semangat zaman itu.
Sama ada Trump ini lanjutan zaman yang sudah mahu berakhir atau kebalikan zaman tersebut. Kita tidak pasti tetapi zaman itu sudah tunjukkan tanda.
Bukan angkara Trump tetapi dia mewakili tanda zaman. Zaman itu ada tanda-tanda lain tetapi rasanya sukar untuk jelaskan hari ini.
Mudah disebut, zaman ini zaman peralihan, zaman yang tidak normal, zaman yang kita rasa kita tahu tetapi selalu bingung untuk faham.
Sama ada politik dunia, budaya dan psikologi, keluarga dan pendidikan, ekonomi dan makanan, cuaca dan alam sekitar, atau kuasa kognitif, kita sedang didatangi zaman menakutkan ini.
Zaman perubahan yang tidak menentu, yang datang mengejut dan tiba-tiba, yang kita tidak faham tetapi sudah jadi realiti di depan mata. Teknologi, fikiran, nilai wang, keselamatan dan perut jadi taruhan.
Barulah kita sedar tatanan lama itu, walau banyak kekejiannya, ada banyak juga kebaikannya. Zaman itu sudah mahu berakhir. Kita akan berdepan zaman kebaikan sudah makin menipis dan hilang. Sirna.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.