Kesabaran Politik PAS dan Keperluan Semasa PN
Kemunculan pandangan di media massa yang melabelkan PAS sudah mula memikirkan tentang jawatan akhir- akhir ini perlu di per halusi latar belakang kepada isu yang sedang berlegar kebelakangan ini. Kenyataan bahawa PAS mahu memegang jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sebenarnya bukan sesuatu yang baru dan bertentangan dengan gaya kepimpinan PAS sebelum ini. Dalam gabungan politik, jawatan pengerusi bukan sekadar “gelaran”, tetapi pusat kepada “command centre” yang menetapkan arah tuju, disiplin organisasi, pengurusan krisis, dan kejelasan keputusan.
Bila PN berdepan tekanan persepsi, isu koordinasi, dan ketidaktentuan strategi menjelang PRU akan datang, isu kepengerusian bukan lagi hanya soal siapa mahu menjadi “bos” atau abang besar, tetapi soal bagaimana gabungan ini boleh bergerak dengan fokus, teratur, dan meyakinkan rakyat melalui seorang pemimpin yang berwawasan. Jika PN terus terperangkap dalam kekosongan atau ketidakjelasan kepimpinan, rakyat akan mengukur tahap kesediaan PN, adakah mampu memimpin negara yang lebih besar tanggungjawabnya atau masih untuk menjadi lagi berada di takuk sama, iaitu sibuk mengurus pergolakan dalaman? Dalam konteks itu, hasrat PAS untuk menerajui PN boleh dibaca sebagai usaha memberi nafas baharu, bukan semata-mata tuntutan jawatan. Tambahan pula, penstrukturan yang lebih realistik dan “mengurangkan salah faham” melalui pembentukan Majlis Presiden dan Majlis Tertinggi (Eksekutif) ini masih melibatkan kesemua parti sebagai pimpinan. Majlis Presiden sebagai platform kepimpinan tertinggi yang menjaga hala tuju besar gabungan manakala Majlis Tertinggi (Eksekutif) sebagai badan pelaksana yang mengurus operasi, keputusan dan disiplin kerja harian. Penstrukturan ini memberi signal bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) masih lagi diberi tempat tanpa mengetepikan peranannya bersama Presiden parti lain. Ini bukan sekadar pembahagian “kerusi”, tetapi satu model tadbir urus yang lebih kemas: Presiden-presiden parti membincang dasar dan arah, manakala eksekutif memastikan keputusan bergerak pantas, tersusun dan mengikat semua komponen.
Jika PAS Mahu Kuasa, Mengapa Dulu Tidak Menuntut?
Dari sudut sejarah, PAS bukan parti yang gemar menjadi “abang besar” atau boss besar walaupun kebanyakan parti yang menjadi sahabat dalam pakatan politik bertindak sebaliknya. Dalam banyak fasa politik pasca-Reformasi, PAS sering mengambil pendekatan memberi ruang, mencari titik temu, dan membina kerjasama walaupun dari segi kekuatan akar umbi, PAS sering mempunyai kapasiti yang besar. PAS berpandangan, yang penting bagi PAS dan pakatan politiknya adalah menyelamatkan negara dan mengikut apa yang Islam anjurkan. Ketika era Barisan Alternatif, kemudian Pakatan Rakyat, dan seterusnya PN, PAS berulang kali memilih untuk tidak menonjol sebagai “parti yang menawarkan diri menjadi ketua”. Malah, dalam wacana muktamar pada awal 2000-an, PAS tetap mengekalkan pendekatan berhati-hati dan memberi peluang kepada rakan-rakan gabungan mengemudi. walaupun pernah timbul suara agar PAS memimpin pakatan. Kenyataan ini adalah rekod sikap yang tidak boleh dipadamkan dan ini romantik. PAS sedar, dalam politik gabungan, PAS tidak gopoh dan memilih menunggu momentum dan keperluan sebenar sebelum membuat langkah. Maka, apabila hari ini PAS dilihat lebih tegas menyatakan kesediaan memimpin, logiknya bukan “tiba-tiba ghairah kuasa”, tetapi situasi gabungan sudah sampai ke tahap yang memerlukan penstrukturan semula dan kepimpinan yang lebih jelas.
Tanpa Jentera Berfungsi, PN Akan Kalah Persepsi
Satu lagi fakta yang sukar dinafikan: rakyat tahu kekuatan jentera PAS. PAS bukan parti yang lahir akibat sentimen atau bermusim yang muncul hanya ketika pilihan raya. Ia adalah parti yang hidup di peringkat bawah, bermula dengan cawangan dan kawasan, selain terkenal dengan aktiviti kebajikan. Para ahlinya diperlengkapkan dengan tarbiyah, sebagai pendinding jiwa. Jentera sebegini bukan sekadar mesin poster dan ceramah; ia jaringan manusia yang boleh menggerakkan mesej, menyusun mobilisasi, dan memelihara disiplin organisasi. Dalam PRU15, PAS membuktikan keupayaan itu melalui prestasi kerusi yang tinggi dan konsistensi sokongan di beberapa wilayah. Kekuatan ini penting kerana dalam politik moden, gabungan bukan menang kerana logo atau individu semata-mata; gabungan menang kerana keupayaan menyampaikan naratif yang seragam dan bekerja secara tersusun. Di sinilah PAS dilihat mempunyai “nilai tambah” kepada PN: bukan hanya pemimpin di atas pentas, tetapi struktur bawah yang mampu menstabilkan gerak kerja. Jika PN mahu memasuki PRU akan datang dengan keyakinan, PN perlu lebih daripada slogan. PN perlu disiplin, koordinasi, dan jentera yang berfungsi yang secara jelas hanya PAS sahaja mampu menawarkan aset itu.
Legitimasi Kepimpinan: Menutup Perpecahan, Memulihkan Keyakinan
Memimpin PN ini juga dilihat bukan langkah gelojoh dan ambil kesempatan oleh PAS, tetapi menurut Setiausaha Agungnya, ia sebenarnya sudah lama wujud dalam perbincangan dalaman, namun PAS tetap memberi ruang kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengetuai gabungan. Hakikat ini tanpa kita perlu bersetuju dengan semua langkah masa lalu menunjukkan PAS bukan “menikam dari belakang”, tetapi berada dalam kerangka kesabaran politik; memberi peluang, melihat kemampuan, dan menilai keperluan semasa. Sekarang, apabila PN dilihat memerlukan susunan semula yang lebih tersusun, rakyat juga sebenarnya berada pada titik psikologi yang menarik. Rakyat sudah merasai pelbagai parti memerintah, melihat pelbagai tokoh menerajui pakatan, tetapi belum pernah merasai pengalaman pentadbiran di bawah PAS sebagai pemimpin utama gabungan di peringkat nasional. Dalam keadaan rakyat semakin skeptikal, bukan sahaja terhadap PH-BN, tetapi terhadap semua parti dan “atmosfera politik”, ruang ujian baharu kadang-kadang menjadi nilai politik. Namun ujian baharu bukan bermaksud eksperimen membuta tuli. PAS perlu menampilkan pelan: bagaimana kepengerusian PAS akan menambah disiplin gabungan, menyelesaikan pertindihan keputusan, mengurus krisis dengan cepat, dan menyusun strategi nasional yang meyakinkan. Jika PAS mahu memimpin, PAS perlu memimpin dengan agenda masa depan. Isu kos sara hidup, pekerjaan, pendidikan, integriti, kecekapan pentadbiran adalah realiti yang dihadapi rakyat, bukan hanya sentimen.
Akhirnya, persoalan “layak atau tidak” perlu dijawab secara objektif. PAS sememangnya layak dari segi keanggotaan, jentera, dan kepimpinan yang datang daripada pelbagai latar. Baik yang bergelar ulama, profesional, teknokrat, pentadbir negeri, dan aktivis masyarakat semua adalah layak di mata ahli PAS. Malah, rakyat sebenarnya tidak pun terlalu fokus kepada apa latar belakang seorang pemimpin, samada seorang ulama atau profesional kerana yang penting, beliau mampu menjaga rakyat dan negara ini dengan baik. Almarhum Tuan Guru Nik Aziz, Sanusi, dan Dr Samsuri adalah contoh kepelbagaian latar belakang pemimpin namun berjaya mentadbir negeri dengan baik. Sejarah membuktikan kelayakan dan kejayaan paling besar bukan pada CV pemimpin; kelayakan terbesar ialah kemampuan membina konsensus gabungan dan menutup ruang perpecahan dalaman yang melemahkan imej PN di mata rakyat.
Penutup
Jika PAS memegang Pengerusi PN, ia mesti dilihat sebagai permulaan kepada era baharu: struktur yang jelas, keputusan yang cepat dan mengikat semua komponen, komunikasi yang seragam, serta disiplin organisasi yang menghapuskan budaya “dua standard”. Jika PAS hanya menukar kerusi tanpa menukar cara bekerja, rakyat akan menghukum PN seperti menghukum gabungan lain. Namun jika PAS benar-benar menggunakan kepengerusian untuk menyusun semula PN dengan lebih profesional dan berfokus serta berintegriti, maka tuduhan “gila kuasa” akan gugur dengan sendirinya kerana rakyat akan menilai melalui hasil, bukan label. Ringkasnya: PAS tidak perlu membuktikan dirinya “suci”; PAS perlu membuktikan dirinya berfungsi dan PN hanya akan bergerak ke hadapan jika isu kepimpinan diselesaikan segera, dengan matlamat memulihkan keyakinan rakyat serta menyediakan gabungan yang benar-benar siap untuk masa depan.
Dr. Mukhtaruddin Musa Ketua Penyelidik (Governans & Polisi), Yayasan Strategik Lestari dan pemerhati politik semasa





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.