https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pertembungan geoekonomi, maklumat palsu dan perpecahan masyarakat


Oleh Fathi Aris Omar

Siap sedia kita semua! Pertembungan geoekonomi, maklumat palsu dan perpecahan masyarakat dijangka makin menjadi-jadi tahun ini dan 2027.

Tahun ini bermula dengan penculikan presiden Venezuela dan juga (kemungkinan) perang di Iran. Perang sentiasa tercetus di Timur Tengah dan Afrika misalnya di Yaman.

Sementara Ukraine belum selesai-selesai sejak awal 2022. Ertinya sudah hampir genap empat tahun. Amerika Syarikat mahu ambil Greenland.

Di kawasan kita, Myanmar belum berdamai. Perang kecil Thailand-Kemboja boleh tercetus semula walau ada juga ruang damai.

Apa jadi di kepulauan Spratly? Penguasaan China yang makin ketara di Laut China Selatan. Begitu juga latihan pengepungan di pinggir Taiwan.

Amerika pula sedang kukuhkan semula kekuatan pangkalan tentera di Pasifik. Dari pulau kecil selatan Jepun hingga ke sekitar Guam. China juga tidak ketinggalan mencari tapak di Pasifik.

Apa makna semua ini? Padahal Amerika sudah ada sekutu setianya: Korea Selatan, Jepun dan Filipina. Kita memang tahu cerita "perang senyap" China dengan kuasa besar Barat itu tetapi, tidak seperti presiden lain, Donald Trump ini sukar diramal.

Belum ambil kira lagi cuaca melampau atau bencana alam seperti banjir, tanah runtuh, hakisan dan risiko gempa (seperti di Segamat). Apakah kita cukup bersedia?

Bayangkan ribut tropika Senyar yang jarang berlaku. Tiba-tiba meranapkan Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat dalam banjir lumpur luar biasa. Bayangkan jika ribut itu melanda Malaysia.

Gempa misalnya, memang tidak pernah berlaku tetapi gempa lemah makin kerap di Johor.

Begitu juga keselamatan siber yang tidak terjamin. Maklumat peribadi mudah terlepas kepada penjenayah. Kesan negatif media sosial pada anak kecil dan remaja seperti dua kes tahun lepas.

Satu kes di sekolah dan satu kes di rumah.

Jangan kiralah penipuan dalam talian (online scam) yang makin kerap mengganggu kita. Jutaan wang terbang. Kadang-kadang dua atau tiga kali sehari kita menerima panggilan dari scam farm!

Begitu jurang kaya-miskin dalam masyarakat kita dan banyak negara lain. Jurang ini makin melebar, yang kaya makin kaya; yang miskin terus papa!

Malah generasi anak kita belum terjamin kerjaya yang baik, pendapatan tidak setimpal kelulusan, sukar mendirikan rumah tangga atau menyewa. Beli rumah atau tambah aset? Jangan beranganlah!

Dunia sudah jauh berubah dan makin luar biasa. Kita tidak dapat meneka apa yang bakal menimpa. Apa yang saya sebut ini hanya tujuh daripada 10 risiko yang disebut Forum Ekonomi Dunia (WEF) 👇

Isu hak asasi, pencemaran dan pendatang asing sudah berada di tangga bawah, 8, 9 dan 10.

Bayangkan rusuhan di Indonesia, Nepal, Madagascar, Maghribi tahun lepas dan kini Iran. Kecuali di Iran, siapa sangka rusuhan Gen Z boleh seganas itu di negara jiran dan Nepal?

Bukan hanya kos sara hidup meningkat tetapi makanan kita, apakah bekalannya terjamin? Harganya mampu kita bayar? Pelaburan kita, cukup atau tidak? Atau, mampukah kita menabung?

Kita sudah sampai di saat ini: POLYCRISIS dalam pelbagai dimensi kehidupan 😥

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.