https://critoxium.com/shop/

Terkini

PN beralih dominasi moderat BERSATU kepada hegemoni PAS


Oleh Mujibu Abd Muis -

Awal 2026 menandakan satu titik perubahan dramatik dalam landskap politik pembangkang di negara ini. Struktur kepemimpinan konservatif menyatukan blok Melayu-Islam pasca 2020 kini mengalami keruntuhan sistemik, bermula peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Perkembangan ini bukan sekadar membabitkan pertukaran individu, sebaliknya mencerminkan berakhirnya era dominasi BERSATU dalam gabungan pembangkang serta membuka ruang kepada pembentukan hegemoni baharu berteraskan PAS.

Pada masa sama, BERSATU yang sebelum ini berfungsi sebagai wajah moderat dan jambatan politik kepada pengundi bukan konservatif semakin kehilangan daya tarikan, pengaruh nasional serta keupayaan kepemimpinan strategik.

Krisis politik di Perlis penghujung 2025 menjadi pemangkin utama peralihan kuasa ini. Pertukaran jawatan menteri besar daripada PAS kepada BERSATU secara mengejut, tanpa persetujuan Majlis Tertinggi PN dianggap pengkhianatan politik oleh parti Islamis itu.

Penggunaan akuan bersumpah (SD) oleh lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU dan tiga ADUN PAS yang tidak sehaluan untuk menarik sokongan terhadap bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, menzahirkan kelemahan kawalan kepemimpinan pusat dan kegagalan mengekalkan disiplin gabungan.

Sebagai tindak balas, PAS mengambil pendekatan taktikal dengan mengarahkan ADUN mereka menolak penyertaan dalam barisan EXCO negeri di bawah kepemimpinan Menteri Besar daripada BERSATU.

Peletakan jawatan Muhyiddin mencetuskan 'eksodus' besar-besaran (keluar berjemaah) dalam kalangan teknokrat dan pemimpin kanan BERSATU. Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga arkitek strategi pilihan raya PN, meletak jawatan beberapa jam selepas pengumuman Muhyiddin.

Eksodus ini mencerminkan perkiraan strategik BERSATU untuk menjarakkan diri daripada proses pengukuhan identiti Islamis PN atau sebagai usaha menegaskan gabungan pembangkang tidak dapat berfungsi secara berkesan tanpa sumbangan teknokratik parti berkenaan.

Pada masa sama, BERSATU turut berdepan konflik dalaman bersifat eksistensial. Parti berkenaan terbahagi kepada dua kelompok utama bersaing untuk menggantikan Muhyiddin sebagai Presiden.

Kelompok pertama dipimpin Datuk Seri Hamzah Zainudin, dilihat pragmatik ala-UMNO dan cenderung mengekalkan hubungan rapat dengan PAS, manakala kelompok kedua dikaitkan dengan Mohamed Azmin mewakili sayap reformis kurang selesa dengan dominasi PAS dalam naratif PN.

Kelemahan struktur dan kepemimpinan BERSATU membuka ruang kepada PAS untuk mengukuhkan cengkamannya dalam PN. Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mengesahkan PAS akan mengambil alih jawatan Pengerusi PN, sekali gus membolehkan parti Islamis itu kembali mengetuai blok pembangkang nasional utama.

Namun, PAS menyedari cabaran sebenar bukan sekadar menguasai gabungan, tetapi memastikan daya tarikan nasional, khususnya dalam kalangan pengundi bukan Melayu dan kelas menengah bandar.

Dalam konteks ini, Abdul Hadi memberi isyarat beliau mungkin tidak memegang jawatan pengerusi secara operasional, membuka ruang kepada tokoh lebih inklusif dan sederhana untuk menjadi wajah PN pada peringkat nasional.

Fragmentasi dalam PN turut mendorong perbincangan mengenai pembentukan gabungan alternatif, termasuk Muafakat Nasional (MN) 2.0 dan Barisan Pembangkang Bersatu (BPB).

Idea 'Grand Malay Alliance'

MN 2.0 dibangkitkan semula sebagai idea 'Grand Malay Alliance' antara UMNO dengan PAS. Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, memberi isyarat kesediaan bertindak sebagai jambatan politik, didorong sentimen kerjasama UMNO-DAP semakin menjauhkan sokongan pengundi Melayu.

Secara selari, idea BPB dicadangkan Mohamed Azmin sebelum peletakan jawatannya menekankan pembentukan gabungan pembangkang berasaskan isu, merangkumi parti di luar kerangka PN atau individu dalam Kerajaan Perpaduan yang tidak berpuas hati.

Fokus utama BPB adalah kepada isu sosioekonomi seperti kos sara hidup, rasionalisasi subsidi dan kebajikan rakyat dengan tujuan mengelakkan polemik perkauman serta agama yang sering membayangi jenama PN.

Bagaimanapun, cabaran terbesar PN pimpinan PAS kekal pada soal penerimaan pengundi bukan Melayu yang masih skeptikal terhadap dasar berteraskan Islam. Bagi menangani hal ini, PN membabitkan parti komponen kecil seperti GERAKAN dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) sebagai jambatan kepada komuniti minoriti.

Secara keseluruhan, kejayaan PN kini bergantung kepada keupayaannya mengurus tiga ketegangan utama iaitu pertama, keseimbangan antara kompetensi pentadbiran dan autoriti ulama; kedua, masa depan BERSATU sama ada kekal relevan atau tersisih dalam hegemoni PAS dan ketiga, keupayaan membina daya tarikan nasional tanpa terperangkap dalam konservatisme negeri yang boleh menghakis sokongan bukan Melayu.

Krisis politik 2025-2026 menutup fasa 'limbo' pasca-PRU15 dan menandakan peralihan jelas PN daripada dominasi BERSATU kepada hegemoni PAS. Perubahan ini bakal mencorakkan landskap politik negara dalam tempoh sedekad akan datang, dengan PAS muncul sebagai pembangkang utama tersusun, dominan dan bersedia mencabar lawan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Penulis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.