https://critoxium.com/shop/

Terkini

UMNO lebih diterima jika bersama Kerajaan Perpaduan


PETALING JAYA: Keputusan Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag memberi isyarat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan lebih diyakini rakyat berbanding bergerak solo.

Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Hanani Dhamirah berkata, kemenangan pada PRK itu bukan sekadar hasil formula UMNO semata-mata, tetapi kerjasama antara parti terkuat dalam Kerajaan Negeri iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau menyifatkan UMNO lebih berdaya saing dan diterima pengundi apabila berada dalam kerangka Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding muncul secara solo atau mengangkat naratif pembangkang.

“Sokongan pengundi di kedua-dua kawasan itu (Parlimen dan DUN) menunjukkan rakyat menilai keupayaan mentadbir, kestabilan politik dan hasil kerja, bukan semata-mata berdasarkan sentimen ‘lawan kerajaan’.

“Hakikatnya, teori Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh bahawa parti itu akan lebih kuat jika menjadi pembangkang jelas tidak selari dengan kehendak pengundi di lapangan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Hanani, rakyat yang mahukan pembangunan dan penurunan kos sara hidup tidak akan mempercayai pembangkang mampu melakukannya berbanding parti pemerintah.

“Rakyat hari ini mahukan penyelesaian kepada isu kos sara hidup, pembangunan setempat dan tadbir urus stabil yang hanya boleh dilaksanakan secara efektif melalui kerajaan, bukan retorik pembangkang,” katanya.

Katanya, keputusan PRK itu dilihat mencerminkan masa depan UMNO lebih kukuh dalam Kerajaan Perpaduan berbanding bertanding secara solo.

Sebelum ini, Dr. Muhamad Akmal mencadangkan agar UMNO meninggalkan Kerajaan Perpaduan dan menjalin hubu­ngan dengan pembangkang. – UTUSAN

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.