https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pas enggan sahkan butiran dipersetujui dalam surat Muhyiddin


PETALING JAYA: Pas kesal dengan penularan sepucuk surat daripada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Presiden parti-parti anggota Perikatan Nasional (PN) bertarikh 27 Januari lalu yang tersebar kepada pihak media.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan persetujuan terhadap semua butiran yang terkandung dalam surat berkenaan khususnya berkaitan cadangan penubuhan Majlis Presiden PN serta pemansuhan jawatan Pengerusi PN.

“Sehubungan itu, pihak kami akan menyatakan pendirian berhubung perkara tersebut secara bertulis kepada Presiden parti-parti anggota PN untuk perhatian sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin mencadangkan supaya jawatan Pengerusi PN dimansuhkan dan kepemimpinan gabungan itu distruktur semula, susulan pertikaian dalaman berpanjangan berkaitan pelantikan ketua baharu.

Menerusi sepucuk surat kepada pimpinan Pas, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) yang turut tersebar kepada media, Muhyiddin dilaporkan memaklumkan bahawa Bersatu dan Pas bersetuju PN perlu distruktur semula melalui penubuhan dua badan baharu, iaitu Majlis Presiden yang diterajui Bersatu dan Majlis Eksekutif yang dipengerusikan Pas.

Menurutnya, Majlis Presiden akan berfungsi sebagai badan pembuat keputusan tertinggi gabungan itu, termasuk dalam menetapkan dasar, manakala Majlis Eksekutif pula bertanggungjawab mengurus pentadbiran harian selaras dengan keputusan yang dibuat.

Langkah berkenaan diambil selepas beberapa minggu pertikaian dalaman dalam PN berhubung jawatan pengerusi gabungan itu, susulan perbezaan pandangan dalam kalangan parti komponennya mengenai peralihan kepemimpinan dan imbangan kuasa.

Cadangan tersebut dibuat susulan satu pertemuan di kediaman Muhyiddin pada 16 Januari lalu yang turut dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man serta Takiyuddin, yang disifatkannya sebagai mesra dan membina.

Pas enggan sahkan butiran dipersetujui dalam surat Muhyiddin

Bagaimanapun, ketegangan dilaporkan kembali tercetus selepas Muhyiddin dimaklumkan bahawa Timbalan Setiausaha Agung PN telah mengeluarkan notis bagi mengadakan mesyuarat khas Majlis Tertinggi esok, dengan pelantikan Pengerusi baharu disenaraikan sebagai salah satu agenda.

Muhyiddin berkata, beliau tidak menerima notis berkenaan dan tidak dijemput menghadiri mesyuarat tersebut.

Menurutnya, mesyuarat khas yang dicadangkan itu serta agenda yang dikemukakan bercanggah dengan konsensus awal yang telah dicapai antara Bersatu, Pas, Gerakan dan MIPP.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya mesyuarat khas berkenaan dibatalkan dan sebaliknya menjemput semua presiden parti gabungan PN menghadiri satu perbincangan ‘pra-majlis’ di kediamannya hari ini. – UTUSAN

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.