Muhyiddin cadang jawatan Pengerusi PN dimansuh
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dimansuhkan.
Menurut surat Muhyiddin kepada dua Presiden parti komponen gabungan itu tular di media sosial hari ini, Beliau turut mendakwa Bersatu dan Pas telah mencapai persetujuan untuk memansuhkan jawatan pengerusi PN sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semula gabungan pembangkang itu.
Menurutnya, persetujuan tersebut dicapai dalam satu pertemuan antara beliau dan pimpinan Pas pada 16 Januari lalu.
Kata beliau hasil penstrukturan itu menyaksikan Bersatu akan menerajui Majlis Presiden PN, manakala Pas akan mengetuai jawatankuasa eksekutif.
Beliau menjelaskan bahawa Majlis Presiden akan menjadi badan tertinggi dalam membuat keputusan berkaitan dasar PN, sementara jawatankuasa eksekutif bertanggungjawab menguruskan aspek pentadbiran.
“Dengan penstrukturan ini, jawatan pengerusi PN dimansuhkan dan sebarang isu berkaitan pelantikan pengerusi PN tidak lagi timbul,” menurut kandungan surat tersebut.
Surat bertarikh 27 Januari 2026 itu ditujukan kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Presiden Gerakan dan MIPP, antara lain menyentuh hasil perbincangan antara pimpinan tertinggi Bersatu dan Pas berhubung isu pelantikan Pengerusi Perikatan Nasional.
Muhyiddin dalam surat tersebut mencadangkan supaya Mesyuarat Luar Biasa pada esok dibatalkan dan digantikan dengan sesi pra-majlis melibatkan semua Presiden parti komponen PN bagi membincangkan cadangan pindaan perlembagaan dan hala tuju baharu gabungan tersebut.
Ia susulan pertemuan 16 Januari lalu antara Muhyiddin dan pimpinan Pas, dikatakan telah mencapai kata sepakat supaya struktur Perikatan Nasional disusun semula bagi mengelakkan kekeliruan mengenai jawatan Pengerusi gabungan itu.
Beliau turut menjelaskan penstrukturan semula tersebut adalah selaras dengan semangat kesepakatan yang dicapai antara pimpinan Bersatu dan Pas.
Dalam surat sama, Muhyiddin turut memaklumkan bahawa beliau telah menghubungi Presiden Gerakan dan Presiden MIPP selepas pertemuan itu bagi memaklumkan keputusan yang dicapai, dan kedua-dua mereka dilaporkan menyokong kesepakatan tersebut. –





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.