https://critoxium.com/shop/

Terkini

Adakah Muhyiddin beri mandat kamu serang Hamzah, Tun Faisal disoal


PETALING JAYA: Seorang pemimpin Bersatu mempersoalkan sama ada kenyataan Ketua Penerangan Tun Faisal Ismail Aziz yang secara terbuka menggesa Hamzah Zainudin meletak jawatan ‘mendapat restu’ Presiden Muhyiddin Yassin.

Ketua Bersatu Tangga Batu, Ramlan Meon, berkata kenyataan Tun Faisal yang menyerang timbalan presiden parti secara terbuka adalah lambang kegagalan Muhyiddin dalam mengawal individu dilantiknya ke jawatan penting.

“Tun Faisal adalah ketua penerangan parti maka kata-katanya melambangkan pandangan parti. Siapa beri mandat kepadanya untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian?

“Sejak bila seorang ketua penerangan boleh menyerang pemimpin parti sendiri? Adakah Muhyiddin merestui kenyataan Tun Faisal memandangkan beliau dilantiknya?” katanya dalam kenyataan.

Ramlan berkata, Tun Faisal perlu dihadapkan ke lembaga disiplin susulan mengeluarkan kenyataan tidak pernah dipersetujui mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) malah tidak pernah dibawa ke meja perbincangan dengan ketua-ketua bahagian.

Beliau turut melabel Tun Faisal sebagai ketua penerangan yang gagal kerana lebih gemar menjadi ‘jurucakap’ individu berbanding mewakili suara kolektif parti.

“Orang ramai melihat Tun Faisal sebagai orang lantikan Muhyiddin. Apabila mereka membenci Tun Faisal, maka mereka turut membenci Muhyiddin.

“Malang sungguh Bersatu hari ini kerana terpaksa mengusung ‘biawak hidup’ yang menjadi liabiliti kepada seluruh parti,” katanya.

Semalam, Tun Faisal menolak gesaan Muhyiddin berundur sebagai presiden, sebaliknya menyatakan Hamzah yang sepatutnya meletak jawatan kerana kegagalannya selaku pengarah pilihan raya Sabah, sehingga tiada kerusi dimenangi pada PRN pada 29 Nov lalu.

Beliau turut menuduh Hamzah, yang juga ketua pembangkang, gagal mengawal penyokongnya dalam parti, sehingga menyebabkan mereka berulang kali melanggar disiplin dan Perlembagaan Bersatu.

Kenyataan Tun Faisal muncul selepas Ahli MPT Yunus Nurdin mendesak Muhyiddin meletak jawatan sebagai presiden bagi memberi laluan kepada Hamzah, susulan pertikaian dengan PAS mengenai dakwaan perjanjian memansuhkan jawatan pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, dalam kenyataan balasnya Tun Faisal meminta pihak terbabit muhasabah diri dan nilai semula segala perlakuan mereka sebelum ini.

“Double standard. Jika mereka minta presiden berundur, itu tak mengapa. Bukan sekali mereka buat, berkali-kali, gagal dengan SD (akuan berkanun) mereka buat PC (sidang media), gagal dengan PC mereka buat kenyataan media guna ahli MPT, bocorkan surat dan buat tuduhan dengan manipulasi surat.

“Tapi bila disarankan agar mereka sendiri desak timbalan presiden berundur mereka melenting,” katanya

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.