Isu Rumah Ibadah Tidak Sah - Antara Kedaulatan Undang Undang Dan Kehormatan Negara
Kenyataan Lawyers for Liberty (LFL) berhubung arahan Perdana Menteri berkaitan rumah ibadat yang dibina secara tidak sah perlu dilihat dengan tenang, adil, dan berasaskan fakta, bukan dengan andaian niat atau retorik yang berlebihan sehingga berisiko memburukkan lagi keadaan.
Pertama: Perlu ditegaskan dengan jelas bahawa Perdana Menteri tidak pernah mengeluarkan arahan untuk merobohkan kuil Hindu secara sewenang-wenangnya. Apa yang ditekankan ialah prinsip asas yang telah lama menjadi tunjang pentadbiran negara:
● Kedaulatan undang-undang mesti dihormati oleh semua pihak tanpa pengecualian agama atau kaum.
Dalam negara berperlembagaan seperti Malaysia, hak beragama adalah dijamin, tetapi hak itu tidak terpisah daripada kerangka undang-undang dan perancangan. Tiada agama di Malaysia yang diberi lesen untuk mendirikan rumah ibadat secara bebas tanpa kelulusan, di atas tanah yang tidak sah, atau dengan mengabaikan peraturan pihak berkuasa tempatan.
Menuduh kenyataan Perdana Menteri sebagai “lampu hijau” untuk perobohan menyeluruh adalah satu tafsiran yang tidak bertanggungjawab dan berbahaya, kerana ia mengaburkan perbezaan antara:
● Tindakan mengikut proses undang-undang, dan
● Tindakan melulu atau vigilante yang memang patut ditolak keras.
Kedua: Istilah “haram” tidak boleh dimanipulasi sebagai isu perkauman semata-mata. Dalam konteks pentadbiran dan perundangan, istilah tersebut merujuk kepada status undang-undang, bukan penghinaan terhadap mana-mana agama.
Mengaitkan secara automatik isu legaliti dengan rasisme hanya akan menyempitkan ruang dialog rasional dan memperkeruhkan hubungan antara komuniti.
Ketiga: Hujah bahawa rumah ibadat memiliki nilai sejarah dan sentimental adalah wajar diambil kira, tetapi ia tidak boleh dijadikan alasan untuk menafikan undang-undang secara mutlak.
Penyelesaian yang matang ialah melalui:
● Proses perundingan penilaian kes demi kes.
● Pemutihan status atau penempatan semula jika perlu
. ● Serta pendekatan berperikemanusiaan yang tidak menghina mana-mana komuniti.
Namun semua ini mesti berlaku dalam kerangka undang-undang, bukan di luar atau melawannya.
Keempat, menakut-nakutkan rakyat dengan bayangan keruntuhan keharmonian kaum akibat penguatkuasaan undang-undang adalah satu logik yang songsang. Sebenarnya, keharmonian jangka panjang hanya boleh dipelihara apabila semua pihak yakin bahawa:
● Undang-undang dilaksanakan secara adil.
● Tiada komuniti yang diberi keistimewaan luar kerangka perlembagaan.
● Dan tiada pihak yang boleh memaksa kerajaan berdiam diri melalui tekanan sentimen.
Malaysia tidak akan aman jika undang-undang dilihat boleh ditawar-menawar berdasarkan tekanan awam atau desakan kumpulan tertentu.
Akhirnya, Perdana Menteri sememangnya berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia, dan justeru itu beliau bertanggungjawab memastikan negara ini ditadbir berdasarkan keadilan, undang-undang, dan kebijaksanaan, bukan ketakutan terhadap reaksi politik atau emosi.
Pendekatan yang diperlukan bukanlah menarik balik prinsip kedaulatan undang-undang, tetapi memperhalusi pelaksanaannya dengan hikmah, komunikasi yang jelas, dan sensitiviti sosial.
Keadilan tidak akan tercapai dengan membisu.
Keharmonian tidak akan kekal jika undang-undang dipinggirkan.
Dan Malaysia tidak boleh dipimpin melalui ugutan sentimen kaum dan agama.
Cikgu Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden MAPIM




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.