https://critoxium.com/shop/

Terkini

Diskusi Warung Untuk Rakyat, Kuasa Negara Untuk Elit”


Oleh Amir Hadi

Aku baca tulisan Fathi Aris Omar ini dan satu perkara jelas: ini bukan hujah, ini kuliah sinis dari menara ego.

AUKU dikatakan “perjuangan basi” kononnya kerana mahasiswa masih boleh baca buku, diskusi filem, buat wacana. Ini hujah liberal paling malas: kebebasan dikecilkan jadi kebebasan individu elit untuk berfikir dalam ruang sempit, sambil menutup mata terhadap struktur kuasa yang mengawal siapa boleh bersuara, berorganisasi dan mencabar status quo.

Masalah AUKU bukan soal “boleh atau tak boleh baca buku”. Masalah AUKU ialah:

- ia mengekang politik kolektif mahasiswa

- ia mencabut ilmu daripada perjuangan sosial dan hubungan kuasa

- ia menukar mentaliti mahasiswa untuk sekadar melihat dunia dari sudut pasaran dan kebolehpasaran (mungkin ini yang di ingini oleh kelompok liberal pro pasaran), bukan dari sudut manusia dan kemanusiaan yang membentuk pemikiran kritikal.

Ini yang liberal gagal faham:

Kebebasan tanpa keadilan struktur hanyalah kebebasan untuk segelintir yang sudah punya modal budaya, ekonomi dan jaringan. Yang lain disuruh “diskusi buku di warung” sambil undang-undang kekal menjerut leher gerakan, apatah lagi gerakan mahasiswa!

Menghina mahasiswa sebagai “bodoh”, “mandul”, “mandom” bukan tanda pemikiran tajam, itu tanda kehabisan argumen. Bila hujah tak cukup, elit akan guna cemuhan. Ini tradisi lama liberalisme: moral superiority tanpa tanggungjawab sosial.

Ironinya, beliau sebut tentang Habermas, Alatas, pencerahan dan ruang awam, tetapi gagal melihat bahawa ruang awam tidak lahir secara semula jadi. Ia diperjuangkan! Dan AUKU adalah antara alat negara yang mengecilkan ruang itu, khususnya untuk anak muda dan kelas bawahan.

Mahasiswa bukan masalah.

Demonstrasi bukan masalah.

Kalau benar mahu mahasiswa “berfikir”, jangan hina mereka bila mereka bertindak. Sejarah perubahan; dari 1960-an hingga Reformasi, bukan lahir dari diskusi selesa semata-mata, tapi dari pertembungan idea dan kuasa.

AUKU bukan isu basi.

Yang basi ialah sindiran elit yang berlagak radikal, tapi sebenarnya menyendeng-nyendeng pada kekuasaan.

Mahasiswa patut terus membaca.

Mahasiswa patut terus berfikir.

Dan ya, mahasiswa patut terus melawan.

Sebab tugas mahasiswa itu adalah belajar dan melawan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.