https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pas Gesa Hentikan Pendedahan Isu Sulit PN di Media Sosial


PETALING JAYA: Pas mengajak ‘operator’ daripada sekutunya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk melaksanakan ‘gencatan senjata’ daripada terus menerus melancarkan serangan di media sosial dengan mendedahkan hal-hal sulit berkaitan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata, semalam genap sebulan PN kehilangan Pengerusinya iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan berkuat kuasa pada 1 Januari.

Beliau berkata, akibat daripada itu, perjalanan gabungan tersebut kini tergendala menyebabkan ahli-ahlinya gelisah manakala rakyat tertunggu-tunggu.

“Hari ini (semalam) 1 Februari. Sudah genap sebulan ‘pemandu bas’ meletak jawatan, 1 Januari. Perjalanan tergendala. Penumpang gelisah. Keluarga (rakyat) menunggu. Kami (Pas) hanya mahu teruskan perjalanan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mempersoalkan tindakan segelintir pihak yang menulis hal ‘sulit’ secara terbuka, namun memilih untuk menahan diri daripada membalasnya.

“Justeru atas rasa hormat kepada kekanda Datuk Dr. M dan Tun F, permintaan saya, cukup-cukuplah menulis,” katanya yang dipercayai merujuk kepada bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad dan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Syahir berkata, di sebalik kemelut yang melanda PN, Pas sudah melancarkan jentera pilihan rayanya di Perak dan Melaka manakala beberapa negeri lain bakal menyusul.

“Di pihak Pas, jentera sudah siap siaga. Tabung sudah dikira. Calon pun sudah turun bekerja. Persiapan bukan setakat di 43 kerusi Parlimen kami, termasuk di enam kerusi ‘lompat’ yang dilaporkan tidak terjaga.

“Itu belum termasuk dua kerusi kalian (Bersatu) yang dengarnya ‘bakal’ melompat, harapnya dapatlah berjaga,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan supaya ‘operator-operator’ bersetuju untuk gencatan senjata kerana diam itu emas dan serahkan kepada pucuk pimpinan untuk mengadakan mesyuarat ‘full-council’ segera.

“Jika kalian berpandangan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah Pengerusi PN yang masih ‘berkuatkuasa’, mudah saja, sila panggil mesyuarat segera. Kami hanya mahu meneruskan perjalanan. Jangan berlengah lagi,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.