https://critoxium.com/shop/

Terkini

Tengku Zafrul Tolak Dakwaan Rafizi: Tarif AS Bukan Dua Kali Ganda


Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz, menafikan dakwaan bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, bahawa Malaysia membayar tarif hampir dua kali ganda berbanding negara lain kepada Amerika Syarikat (AS). Beliau menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak tepat.

Penjelasan itu diberikan bagi mengulas kritikan Rafizi mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-AS yang dimeterai pada 26 Oktober 2025 semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47. Tengku Zafrul menegaskan, tarif 19 peratus sebelum ini yang dikenakan ke atas Malaysia tidak lagi berkuat kuasa selepas keputusan Mahkamah Agung AS pada 21 Februari lalu.

“Apa benda yang kena bayar tarif dua kali ganda ni? Bila Mahkamah Agung AS dah batalkan tarif, maknanya tarif 19 peratus yang dikenakan terhadap Malaysia pun dah tak jadilah,” jelasnya menerusi hantaran di media sosial X.

Beliau turut mempertahankan pendekatan Malaysia memeterai Perjanjian ART dengan AS pada Oktober tahun lepas sebagai langkah berjaga-jaga dalam suasana perdagangan global yang tidak menentu. Tengku Zafrul mengumpamakan tindakan itu seperti mengambil insurans perjalanan sebelum melancong ke luar negara.

“Orang selalu fikir takkan jadi apa-apa. Tetapi apabila masuk hospital di luar negara dan bil mencecah puluhan ribu ringgit, barulah kita nak faham kenapa bayar takaful itu penting. Kita sediakan payung sebelum hujan,” katanya.

Beliau menekankan bahawa Malaysia memilih untuk bertindak awal dan tidak menunggu sehingga proses mahkamah selesai di AS, kerana kelewatan boleh menyebabkan negara terpaksa berunding dalam keadaan kurang menguntungkan.

“Dalam perdagangan global hari ini, siapa lambat bergerak akan bayar harga yang mahal. Pendekatan proaktif memberi kepastian kepada industri tempatan serta melindungi pekerjaan rakyat,” kata Tengku Zafrul.

Beliau juga menegaskan Malaysia bukan satu-satunya negara yang mengambil langkah sedemikian. Kesatuan Eropah, United Kingdom, Jepun, Korea Selatan, dan terbaru jiran serantau Indonesia turut mencapai persefahaman dengan Washington.

“Ini bukan soal siapa paling kuat bercakap. Ini soal siapa paling awal bertindak untuk melindungi ekonomi negara,” tambah beliau.

— Sumber: Bernama

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.