𝗗ulu Raja Formula , Sekarang Raja Bitter
Oleh Rafizi Ramli
Saya dah masak kena kecam macam-macam. Raja Formula pun pernah, sekarang Raja Bitter pulak.
Masa saya dedahkan skandal zaman UMNO/BN jadi kerajaan dulu, oleh kerana mereka tidak ada jawapan berfakta untuk patahkan fakta-fakta yang dikemukakan, mereka serang peribadi.
Dari situlah, pendekatannya ialah serang peribadi. Apa-apa yang saya utarakan, mereka tidak jawab hujah atau fakta, tetapi hanya ulang serangan Raja Formula.
Penyokong PAS masa itu selalu ambil hujah dan fakta saya, tetapi bila saya utarakan pandangan yang mereka tidak suka, penyokong PAS pun turut sama serang peribadi guna raja formula.
Sekarang kaedah yang sama digunakan ceplos-ceplos PKR.
Bila yang saya utarakan itu fakta atau hujah yang mereka tidak boleh sangkal, mereka serang peribadi.
Cuma selain serangan Raja Formula, mereka tambah satu lagi - Raja Bitter, kononnya saya berdendam, sakit hati dan kecewa. Bitter la kononnya.
Kaedah serang peribadi ini tidak berkesan untuk jangka masa panjang, terutamanya dengan pengundi atas pagar, lebih-lebih lagi dengan pengundi GenZ.
Sebab pengundi atas pagar tidak ada kesetiaan kepada mana-mana parti. Mereka juga tahu undi dan sokongan mereka itu adalah kuasa paling besar dan mereka berhak alih kepada mana-mana parti.
Pengundi GenZ lagi kuat swing mereka. Hari ini mereka boleh suka, esok mereka tak suka.
Bagi saya, kaedah paling baik dengan pengundi atas pagar dan GenZ ialah memberikan pencerahan yang disertakan dengan hujah yang bersandarkan fakta.
Mereka akan buat keputusan sendiri.
Kalau yang ahli politik utarakan itu serasi dengan pandangan mereka, apatah lagi disokong oleh fakta yang tidak boleh dinafikan, mereka lebih cenderung untuk bersetuju dengan kita.
Ini masalah dan cabaran yang ada pada jentera penerangan kerajaan yang menggunakan kaedah ceplos dalam berhadapan dengan pandangan yang berbeza, seperti sesetengah pandangan saya.
Mereka ingat rakyat ini seperti ceplos-ceplos dalam PKR.
Dalam PKR, kalau pimpinan kurang selesa dengan pandangan berbeza, pimpinan akan ambil tindakan, keluar pekeliling, ambil tindakan disiplin. Kalau rasa susah nak kuasai sokongan, tukar sistem. Semua sistem pemilihan, cara mengundi, peraturan semua boleh ditukar untuk menendang sesiapa yang tidak serasi dengan pandangan mereka, sebab cukup jumloh ceplos dalam parti yang sanggup menjulang apa-apa yang disebut pimpinan.
Rakyat tidak begitu kerana mereka tidak bergantung kepada parti atau kerajaan untuk hidup.
Saya nak bagi tip kepada Fahmi Fadzil dan JKOM untuk mengemudi persepsi rakyat.
Pertama, gunakan data - sama ada dari kaji selidik kualitatif atau kuantitatif - untuk kenal pasti naratif yang ada tindak balas rakyat.
Dari situ, uji naratif tersebut.
Kalau ada reaksi positif, maksudnya ia perlu diulang dan dikembangkan.
Kalau ada naratif pembangkang yang ada reaksi positif rakyat, ia perlu dijawab dan dipatahkan segera dengan guna kaedah yang sama: iaitu jawab, patah dan semak tindak balas rakyat.
Itu yang sedang berlaku sekarang.
Bila saya utarakan sesuatu pandangan, selalunya saya sedang menguji naratif atau saya sedang mengembangkan naratif yang telah terbukti ada tindak balas rakyat.
Saya selalunya tidak pernah komen buta macam ceplos-ceplos, sebab buat komen buta ini membuang masa.
Kalau saya kata persepsi tentang rasuah semakin buruk di bawah Madani, perkara itu telah diuji secara kuantitatif, kualitatif dan terbukti di medan media sosial.
Kalau saya bagi pandangan mengenai gaya kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, selalunya ia juga telah melalui proses itu.
Tugas jentera komunikasi kerajaan ialah memperbaiki persepsi rakyat itu.
Mereka boleh memilih untuk menyerang saya dengan memberi label: raja formula ke, raja merajuk ke, raja bitter ke.
Setakat ini, sejak dari 2010 lagi, kaedah menyerang peribadi dengan memberi label ini tidak pernah berjaya.
Begitu juga kaedah troll farm, atau menggunakan fake account atau berbayar, juga tidak pernah berjaya.
Satu-satunya kaedah yang berjaya ialah dengan memberi hujah dan fakta yang boleh mematahkan hujah lawan atau hujah yang tidak serasi dengan kita.
Tapi kalau strategi komunikasi PKR terus bergantung harap kepada ceplos-ceplos yang ada, selamat maju jaya lah korang!





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.