https://critoxium.com/shop/

Terkini

Percakaran antara parti lemahkan dominan bangsa Melayu


Oleh Dr Mohd Fauzi Shaffie -

Dalam sosiologi politik, legitimasi merujuk kepada penerimaan kolektif terhadap kewajaran sesuatu kuasa untuk memerintah. Ia tidak sekadar diperoleh melalui prosedur pilihan raya, tetapi melalui pengiktirafan moral, simbolik dan prestasi konsisten.

Politik Melayu sepanjang tempoh pasca kemerdekaan dibina atas tiga sumber legitimasi utama saling memperkukuh antara satu sama lain iaitu sejarah, pembangunan dan perlindungan identiti.

Legitimasi sejarah tertumpu kepada naratif perjuangan kemerdekaan dan pembinaan negara. Peranan kepemimpinan Melayu menentang Malayan Union, merundingkan kemerdekaan serta membentuk asas negara memberikan kelebihan moral mendalam kepada parti dominan Melayu, khususnya UMNO.

Politik tidak dilihat sekadar sebagai pengurusan kuasa, tetapi sebagai kesinambungan perjuangan. Naratif ini berfungsi sebagai 'modal simbolik'. Ia membentuk kesetiaan relatif stabil kerana berasaskan identiti kolektif dan memori pengorbanan.

Namun, legitimasi sejarah sangat bergantung kepada kesinambungan memori sosial. Apabila generasi mengalami peristiwa berkenaan semakin berkurangan, naratif perjuangan kehilangan daya emosinya.

Bagi generasi lahir beberapa dekad selepas kemerdekaan, sejarah menjadi fakta, bukan pengalaman hidup. Peralihan ini mengurangkan keberkesanan sejarah sebagai sumber legitimasi automatik. Ia masih dihormati, tetapi tidak lagi mencukupi untuk menjawab persoalan semasa.

Sumber kedua ialah legitimasi pembangunan. Selepas 1969, pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan model pembangunan berorientasikan negara memberikan asas material kepada kestabilan politik Melayu.

Pengurangan kemiskinan, peluasan akses pendidikan, pembentukan kelas menengah Melayu serta pembangunan infrastruktur besar-besaran menjadikan prestasi ekonomi sebagai sumber justifikasi utama. Legitimasi ini menjadi milik UMNO.

Dalam tempoh ini, legitimasi beralih daripada simbolik kepada material. Selagi taraf hidup meningkat, mobiliti sosial berlaku dan peluang ekonomi berkembang, sokongan terhadap struktur politik miliki pengaruh dominan kekal terjamin.

Namun, landskap ekonomi global sentiasa berubah. Ekonomi Malaysia berdepan tekanan persaingan serantau, perubahan teknologi berterusan serta berlakunya gaji statik dalam kalangan graduan muda.

Kos sara hidup meningkat, akses perumahan menjadi lebih sukar dan jurang ketidaksamaan lebih ketara. Akibatnya, pertumbuhan ekonomi makro tidak lagi secara automatik diterjemahkan kepada kesejahteraan mikro.

Generasi muda Melayu berpendidikan tinggi berhadapan realiti kelulusan akademik tidak menjamin mobiliti sosial setanding dengan generasi ibu bapa mereka. Apabila pengalaman ekonomi tidak seiring dengan naratif pembangunan, legitimasi pembangunan mula terhakis.

Sumber ketiga ialah legitimasi perlindungan identiti Melayu-Islam dalam konteks masyarakat majmuk. Politik Melayu sering menjadi pelindung bahasa, agama, hak istimewa serta kedudukan institusi Melayu.

Dalam kerangka ini, parti politik bukan sekadar entiti pilihan raya, tetapi benteng keselamatan simbolik. Legitimasi ini terbuka kepada mana-mana parti berasaskan Melayu.

Legitimasi ini pada asasnya berfungsi melalui persepsi ancaman. Selagi wujud rasa identiti kolektif memerlukan perlindungan aktif, parti Melayu kekal relevan. Namun, perubahan sosial dan digitalisasi maklumat mengubah cara ancaman ditafsirkan.

Generasi muda terdedah kepada wacana global, perbandingan antarabangsa dan pelbagai sumber pandangan. Pada masa sama, isu tadbir urus, integriti dan kecekapan semakin mendapat tempat.

Politik identiti tidak hilang, tetapi ia kini perlu bersaing dengan politik prestasi. Perlindungan simbolik sahaja tidak lagi mencukupi tanpa pentadbiran yang berkesan.

PRU 2018 titik penting sejarah politik Melayu

Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 menjadi titik penting dalam sejarah politik Melayu. Ia menunjukkan legitimasi sejarah dan pembangunan tidak lagi kebal terhadap cabaran integriti dan persepsi keadilan. Hegemoni sebelum ini dianggap stabil boleh runtuh apabila kepercayaan moral tergugat.

Selepas 2018, berlaku perpecahan blok politik Melayu, perubahan gabungan dan ketidakstabilan kerajaan. Keadaan ini mempercepatkan proses hakisan legitimasi kerana tiada lagi pusat kuasa dominan tunggal, persaingan intra-Melayu menjadi lebih sengit dan naratif perlindungan identiti digunakan secara lebih agresif oleh pelbagai pihak.

Situasi ini melahirkan apa yang boleh disebut sebagai 'krisis legitimasi berganda'. Krisis ini mempunyai dua dimensi utama iaitu 'krisis antara parti' dan 'krisis antara parti dan masyarakat'.

Parti Melayu saling mencabar kredibiliti dan keabsahan satu sama lain. Tuduhan pengkhianatan, gagal mentadbir dan pertikaian kepemimpinan menjadikan legitimasi tidak lagi bersifat kolektif, tetapi kompetitif. Tiada satu parti mampu mendakwa mempunyai kuasa moral mutlak.

Tindakan saling membuka aib ini mempercepatkan kegagalan naratif politik Melayu kerana boleh berakhir dengan tiada parti berasas Melayu mendapat sokongan cukup. Lebih mendalam lagi ialah perubahan aspirasi masyarakat Melayu.

Generasi muda menilai kepemimpinan berdasarkan ketelusan, kecekapan dan keupayaan menyelesaikan masalah konkrit seperti pekerjaan, pendidikan dan kos sara hidup. Mereka tidak semestinya menolak politik identiti, tetapi menuntut ia disertai dengan hasil jelas.

Parti Melayu bukan sahaja bersaing sesama sendiri tetapi bersaing dengan jangkaan harapan baharu masyarakat Melayu yang semakin rasional dan pragmatik.

Peralihan generasi adalah pemboleh ubah struktur paling kritikal. Generasi terdahulu menilai legitimasi berdasarkan kestabilan dan kesinambungan sejarah. Generasi baharu cenderung menilai berdasarkan prestasi dan integriti.

Jika legitimasi lama bersandar pada memori kolektif, legitimasi baharu menuntut pembuktian berterusan. Ini menandakan peralihan daripada legitimasi simbolik kepada legitimasi kewibawaan.

Politik Melayu kini berada di persimpangan sama ada terus bergantung kepada naratif lama atau membina asas legitimasi baharu lebih berasaskan prestasi serta keupayaan mentadbir dalam dunia semakin kompleks.

Krisis legitimasi berganda bukan sekadar kemerosotan sokongan, tetapi penstrukturan semula asas keabsahan politik Melayu. Ia berlaku serentak pada dua tahap iaitu persaingan intra parti dan perubahan aspirasi sosial.

Jika parti Melayu mampu menggabungkan warisan sejarah dengan model pembangunan relevan dan pentadbiran berintegriti, krisis ini boleh menjadi titik pembaharuan.

Jika gagal, politik Melayu mungkin kekal dominan secara demografi tetapi semakin lemah secara legitimasi moral dan kemampuan.

Dalam konteks ini, masa depan politik Melayu tidak ditentukan retorik paling lantang, tetapi keupayaan membina semula kepercayaan dalam era generasi baharu menuntut lebih daripada sekadar simbol. Dalam masyarakat pengundi yang semakin memilih legitimasi keupayaan, Melayu berisiko hilang kuasa di tanah air sendiri.

Penulis ialah Penganalisis sosioekonomi dan politik

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.