Pijak al-Quran, politik emosi dan ujian sebenar hidup bersama
Oleh Sabariah Baharun
Malaysia dibina atas asas kepelbagaian. Islam sebagai agama persekutuan hidup bersama agama lain dalam ruang sosial yang sama. Masjid berdiri tidak jauh dari kuil, gereja dan tokong. Perayaan diraikan bersama, bahasa dan budaya saling berinteraksi. Inilah realiti masyarakat majmuk yang menjadi kekuatan negara.
Namun, kekuatan itu sentiasa diuji.
Insiden seorang pelajar yang didakwa memijak al-Quran baru-baru ini segera mencetuskan kemarahan awam. Video dan tangkapan layar tersebar pantas, komentar berapi-api memenuhi ruang media sosial, dan tuntutan hukuman keras bergema tanpa menunggu siasatan selesai.
Bagi umat Islam, al-Quran bukan sekadar teks, tetapi kalam suci dan simbol tertinggi agama yang menjadi panduan hidup. Tindakan menghina atau memperlekehkan kitab suci itu menyentuh sensitiviti yang amat mendalam. Reaksi emosi adalah sesuatu yang boleh difahami.
Namun dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, persoalan lebih besar perlu ditanya ialah adakah kita sedang mempertahankan agama dengan hikmah, atau membiarkan politik emosi menguasai ruang awam?
Insiden ini bukan hanya tentang seorang pelajar. Ia cerminan betapa rapuhnya disiplin sosial kita apabila berdepan isu agama.
Hormat itu prinsip, bukan taktik
Islam sendiri menetapkan garis jelas tentang adab dalam kepelbagaian. Firman Allah dalam Surah al-An‘am ayat 108 melarang umat Islam mencela sembahan agama lain kerana ia akan mengundang celaan balas terhadap Allah. Larangan itu bukan kompromi akidah, tetapi strategi menjaga keamanan sosial.
Begitu juga prinsip ‘tiada paksaan dalam agama’ (al-Baqarah: 256) dan seruan berlaku adil terhadap mereka yang tidak memerangi umat Islam (al-Mumtahanah: 8). Dalil-dalil ini menunjukkan bahawa hormat terhadap agama lain adalah sebahagian daripada ajaran Islam itu sendiri.
Masalahnya, dalam realiti Malaysia hari ini, ayat-ayat yang menyeru hikmah sering tenggelam di bawah laungan emosi dan tuntutan balas.
Fiqh ta’ayush yang terpinggir
Dalam wacana Islam kontemporari, terdapat konsep fiqh ta’ayush iaitu fiqh hidup bersama. Ia merujuk kepada kefahaman hukum dan etika yang membimbing umat Islam berinteraksi dengan masyarakat pelbagai agama secara damai dan bermaruah.
Fiqh ta’ayush menekankan beberapa prinsip penting termasuklah menghormati perbezaan akidah tanpa mengorbankan prinsip sendiri; menjaga keamanan dan maslahat umum; mengelakkan provokasi yang membawa mudarat lebih besar; dan menegakkan keadilan walaupun terhadap pihak yang berbeza agama.
Sarjana seperti Yusuf al-Qaradawi dan Abdullah Bayyah menekankan umat Islam di negara majmuk perlu memahami hukum dalam kerangka kewarganegaraan bersama, bukan mentaliti kepungan.
Sejarah Islam membuktikan hal ini. Piagam Madinah mengiktiraf kewujudan masyarakat berbilang agama dalam satu entiti politik. Dalam hadis riwayat al-Bukhari, Nabi Muhammad SAW pernah berdiri menghormati jenazah seorang Yahudi yang lalu di hadapannya. Apabila ditanya, baginda menjawab “Bukankah dia juga seorang manusia?” Ini menunjukkan penghormatan terhadap kemanusiaan tanpa mengira agama.
Namun, dalam suasana kita hari ini, fiqh ta’ayush sering kalah kepada fiqh kemarahan.
Setiap insiden agama segera dipolitikkan. Tindakan individu dijadikan simbol kononnya ‘ancaman terhadap Islam’. Tanpa menunggu fakta, ruang awam dipenuhi naratif bahawa maruah agama sedang diinjak-injak secara sistematik.
Apakah ini refleksi iman yang kukuh, atau tanda ketidakmatangan kolektif?
Media sosial dan inflasi emosi
Satu faktor yang tidak boleh diabaikan ialah ekosistem digital. Algoritma media sosial mengangkat kandungan yang mencetuskan emosi seperti marah, takut dan curiga. Reaksi sederhana jarang tular. Seruan sabar tidak mendapat ribuan perkongsian.
Akibatnya, setiap insiden kecil berpotensi menjadi krisis nasional dalam masa beberapa jam.
Di sinilah bahaya sebenar. Jika setiap provokasi dibalas dengan kemarahan terbuka, masyarakat akan hidup dalam keadaan sentiasa tegang. Kepercayaan antara komuniti akan terhakis sedikit demi sedikit.
Kita perlu bertanya secara jujur samada adakah kita benar-benar membela kesucian al-Quran, atau tanpa sedar membantu menyebarkan penghinaan itu lebih luas?
Negara hukum atau negara emosi?
Jika kesalahan berlaku, undang-undang sedia ada harus ditegakkan. Malaysia mempunyai peruntukan undang-undang berkaitan penghinaan agama dan hasutan. Proses siasatan dan kehakiman wujud untuk memastikan keadilan.
Tetapi apabila tekanan awam menuntut hukuman segera tanpa proses, kita sedang menghakis prinsip negara hukum.
Maqasid syariah bukan hanya menjaga agama (hifz al-din), tetapi juga menjaga nyawa dan keamanan (hifz al-nafs). Jika reaksi melampaui batas sehingga mencetuskan ancaman atau ketegangan antara kaum, ia bercanggah dengan tujuan syariah itu sendiri.
Mempertahankan agama tidak bermakna menggugat keamanan.
Pendidikan yang gagal membina empati?
Insiden melibatkan pelajar juga membuka persoalan lebih mendalam tentang pendidikan. Adakah generasi muda benar-benar memahami sensitiviti agama lain? Atau kita sekadar mendidik mereka dengan fakta ritual tanpa membina empati dan disiplin digital?
Hormat terhadap agama lain tidak melemahkan identiti sendiri. Sebaliknya, ia menunjukkan kematangan iman dan keyakinan diri. Individu yang kukuh pegangannya tidak perlu menghina kepercayaan orang lain untuk membuktikan kesetiaan kepada agamanya.
Jika pendidikan gagal menanam rasa hormat ini, maka setiap generasi akan terus terdedah kepada kitaran provokasi dan kemarahan yang sama.
Dalam masyarakat digital, kejahilan mudah menjadi bahan bakar provokasi. Tindakan individu boleh dirakam, disebarkan dan dimanipulasi sehingga mencetuskan kemarahan nasional. Oleh itu, literasi agama dan sivik perlu diperkukuh, bukan sahaja dalam kalangan bukan Islam terhadap Islam, tetapi juga sebaliknya
Ujian kematangan bangsa
Malaysia bukan negara homogen. Kita tidak hidup dalam ruang sosial yang seragam. Hidup bersama memerlukan lebih daripada toleransi pasif, malah ia memerlukan kesedaran bahawa tindakan kita mempunyai kesan terhadap komuniti lain.
Insiden pijak al-Quran ini adalah ujian kematangan. Adakah kita mampu mengawal emosi dan menyerahkan proses kepada undang-undang? Atau kita akan terus membenarkan sentimen mengatasi rasional?
Fiqh ta’ayush menuntut disiplin. Ia mengajar bahawa keamanan sosial adalah maslahat yang perlu dijaga. Ia menuntut kita mempertahankan maruah agama melalui akhlak dan keadilan, bukan ledakan kemarahan.
Kekuatan sebenar
Akhirnya, kekuatan agama tidak diukur pada sekeras mana kita bereaksi, tetapi pada setinggi mana akhlak kita ketika diuji. Al-Quran sendiri mengajar adab dalam perbezaan. Nabi menunjukkan teladan hidup bersama dalam masyarakat majmuk.
Jika setiap insiden agama dijadikan medan mobilisasi emosi, maka kita sedang menggadaikan prinsip yang kita dakwa mahu pertahankan.
Hormat terhadap agama dan budaya kaum lain bukan konsesi politik. Ia keperluan kenegaraan bagi semua warga dalam masyarakat pelbagai. Tanpa disiplin ini, perpaduan Malaysia akan sentiasa bergantung pada nasib dan satu video tular sudah cukup untuk menggoncangnya.
Insiden ini seharusnya menjadi peringatan bahawa mempertahankan agama menuntut hikmah dan hikmah hanya lahir apabila kita berani mendahulukan akal dan akhlak daripada kemarahan. Penulis ialah naib presiden Pertubuhan Ikram Malaysia.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.