Usul had tempoh PM masih boleh lulus tahun ini
PETALING JAYA: Usul pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri masih boleh diluluskan pada tahun ini, selaras agenda reformasi institusi sebagai hala tuju utama kerajaan, kata penganalisis.
Syahruddin Awang Ahmad dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), berkata kegagalan mendapatkan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat semalam bukan penamat, malah memberi ruang tambah baik.
Menurutnya, kerajaan masih ada ruang untuk membentangkan dan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) terbabit pada mesyuarat kedua penggal kelima Parlimen ke-15, berlangsung dari 22 Jun hingga 16 Jul atau mesyuarat ketiga dari 05 Okt hingga 8 Dis.
“Kegagalan hari ini bukanlah penamat, sebaliknya pengajaran penting tentang keperluan diplomasi politik yang lebih inklusif antara semua pihak.
“Usaha berterusan amat diperlukan untuk memujuk pihak yang ragu-ragu menerima kepentingan pengehadan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun demi masa depan,” katanya kepada FMT.
RUU bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada maksimum 10 tahun gagal diluluskan apabila tidak mendapat sokongan dua pertiga diperlukan iaitu 148 Ahli Parlimen.
Undian belah bahagi di Dewan Rakyat, semalam menyaksikan seramai 146 Ahli Parlimen menyokong manakala 44 tidak mengundi dan 32 tidak hadir.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 5 Jan lalu menggariskan beberapa usaha reformasi institusi yang menjadi hala tuju utama kerajaan tahun ini selaras dengan prinsip tadbir urus baik dan pengukuhan demokrasi.
Antaranya membentangkan RUU mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri, pemisahan kuasa antara pendakwa raya dan peguam negara, Ombudsman, dan kebebasan maklumat.
Sementara itu, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, berkata RUU itu bukan kosmetik sebaliknya komitmen kerajaan Madani menyediakan benteng terakhir untuk menahan cubaan salah guna kuasa.
“Kuasa tanpa noktah menjadikan seorang pemimpin raja politik yang kebal, menutup ruang pembaharuan dan membunuh meritokrasi.
“RUU ini bukan kosmetik sebaliknya benteng terakhir menahan kerakusan kuasa dan melengahkannya sama seperti menjemput diktator masuk ke rumah demokrasi kita,” tegas penganalisis dari Global Asia Consulting itu.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.