https://critoxium.com/shop/

Terkini

Hamzah akan ambil alih Parti Keluarga Malaysia


Pengasas Parti Keluarga Malaysia, Khairi Jaya, berkata Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin hampir pasti menerajui parti itu bagi meneruskan kelangsungan perjuangan politiknya selepas dipecat Bersatu bulan lalu.

“Perbincangan sudah diadakan sebanyak dua kali bersama Datuk Seri Hamzah dan ahli Parlimen lain (dipecat Bersatu) termasuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan.

“Perbincangan terbaharu pada Khamis minggu lalu dan boleh dikatakan 90% sudah pasti Hamzah akan mengambil alih Parti Keluarga Malaysia,” kata Khairi menurut Berita Harian.

Hamzah dipecat Bersatu pada 13 Feb lalu. Tiga Ahli Parlimen lain, iaitu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Fathul Huzir Ayob (Gerik) dan Azahari Hasan (Padang Rengas) turut dipecat parti itu.

Khairi berkata, perlembagaan parti sedang dipinda bagi membolehkan proses pemilihan diadakan bagi menentukan kedudukan Hamzah sebagai presiden.

“Sekarang ini semua ‘on track’. Akan ada pemilihan untuk lantik Datuk Seri Hamzah sebagai presiden dan kita sedang susun perlembagaan parti bagi membolehkan perkara itu direalisasikan.”

Pada 15 Feb lalu, Parti Berjasa Malaysia (Berjasa) menafikan dakwaan Hamzah berpotensi mengambil alih parti itu.

Sinar Harian melaporkan Ketua Penerangannya, Mohd Hamdan Mohd Sharif sebagai berkata, tiada perbincangan rasmi atau pertemuan khusus berhubung dakwaan itu dan Berjasa kekal utuh di bawah kepimpinan Majlis Kepimpinan Tertinggi yang dipilih dan dilantik secara sah.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.