Muhyiddin dakwa Hamzah buat rundingan senyap dengan Zahid
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mendakwa bekas timbalannya Hamzah Zainudin mengadakan pertemuan secara senyap dengan Presiden Umno Zahid Hamidi untuk membentuk satu gabungan, tanpa pengetahuan dan kebenaran parti.
Muhyiddin turut mendakwa Hamzah menjadi dalang di sebalik gerakan dalaman untuk merosakkan dan memecah-belahkan parti Bersatu, yang menjadi alasan utama mengapa ketua pembangkang itu dipecat pada 13 Feb lalu.
Menurutnya, terdapat juga banyak kesalahan lain yang dilakukan sehingga Lembaga Disiplin parti terpaksa mengambil tindakan drastik bagi mengelakkan masalah itu daripada terus berlaku.
“Kesalahan dia banyak, bertimbun sebab tu dibawa ke Lembaga Disiplin, setahu saya. Saya fikir tak wajar nak pergi teliti (beritahu) satu persatu sebab sudah ada keputusan, atas asas yang kukuh kenapa tindakan tu diambil.
“Kalau saya nak jelaskan, contoh satu bila Datuk Zahid Hamidi dalam satu perhimpunan pernah buat kenyataan bahawa dia sudah berjumpa dan berunding dengan Pas dan Bersatu. Ada yang kaitkannya Bangkok Move or something like that.
“Dalam kumpulan chat tu saya tanya: Who meet Zahid? Siapa jumpa Zahid? Siapa jumpa? Tak terjawab tapi saya ada maklumat yang sahih, Hamzah jumpa Zahid. Dalam parti kita ni, ada disiplin, ini isu besar,” katanya, menurut Sinar Harian.
Beliau berkata isu pemecatan Hamzah dan beberapa pemimpin lain bukan kerana mempersoalkan kepimpinannya tetapi melibatkan perkara yang lebih besar.
Katanya, ia menyentuh perkara berkaitan perlembagaan parti, menimbulkan keadaan ketidaktenteraman dalam parti, soal merenggangkan hubungan antara pimpinan di peringkat tertinggi hingga ke akar umbi serta gerakan-gerakan yang agak terancam.
“Dia tidak boleh pergi memandai-mandai ikut kepala siapa sekalipun atau tujuan apa, tanpa ada mandat dan tak ada kebenaran ataupun tidak diluluskan oleh majoriti. Memandai-mandai nak pergi untuk apa?
“Kalau untuk kebaikan, beritahu kepada saya sebagai presiden tak? Ini bukan perkara kecil. Rupanya dia ada perancangan nak bentuk gabungan, dia jadi DPM (timbalan perdana menteri), yang ni jadi PM, tak tahulah macam-macam cerita.
“Ini boleh main-main ke? That one particular thing alone is a very serious matter, tak usahlah campur yang lain-lain lagi. Minta maaflah, saya tak boleh jelaskan tapi sebabnya munasabah dan pihak lembaga disiplin dah bertindak atas dasar maklumat yang dia dapat,” jelasnya.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.