SELEPAS beberapa bulan mengirimkan isyarat yang berbeza, PAS akhirnya
akan menyatakan pelannya untuk menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya
Umum ke-14 (PRU14) dengan menerajui pakatan pembangkang yang kedua di
negara ini.
Pada hujung minggu ini, parti kedua terbesar dari segi keanggotaan
itu akan menganjurkan sebuah perhimpunan yang digelar Fastaqim 2.0,
sebuah rapat umum yang dihajatkan untuk menyatukan PAS dan sekaligus
membuktikan ia sebuah parti politik yang sewajarnya digeruni.
PAS akan mengetuai pakatan yang diberi nama "Gagasan Sejahtera
Rakyat" yang akan menyaingi Pakatan Harapan (PH) dan gabunan parti
pemerintah, Barisan Nasional (BN).
Tetapi lebih daripada sebuah perhimpunan yang diharapkan oleh PAS
akan menarik dukungan 200,000 penyokongnya, ia juga akan mengumumkan
penyertaan dua atau tiga tokoh politik nasional ke dalam parti Islam
itu.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata pengumuman itu adalah kejutan terbesar pada Fastaqim 2.0.
“Siapa tokoh itu tidak sesuai dan wajar saya nyatakan
(sekarang). Tunggu malam kemuncak Fastaqim. Insya-Allah dua atau tiga
tokoh ini akan hadir membuat perisytiharan menyertai PAS, ” katanya.
Kenyataan PAS ini mengulangi nada sekitar pengumuman Umno minggu lalu
yang mencetuskan desas-desus beberapa wakil rakyat pembangkang akan
lompat parti menyokong BN.
Bagaimanapun, pengumuman pada 17 September lalu itu hanyalah
kemunculan Muhammad Muhammad Taib yang meninggalkan PKR untuk kembali ke
pangkuan Umno.
Penganalisis politik dan pemimpin PH meragui kemampuan PAS dan
pakatan politiknya untuk menarik sokongan yang memadai daripada rakyat
Malaysia untuk menang lebih daripada 100 kerusi Parlimen bagi
membolehkan ia membentuk kerajaan persekutuan.
Pemimpin PAS bagaimanapun percaya perhimpunan Fastaqim, yang
bermaksud kebangkitan, di Kuala Terengganu pada hujung minggu ini adalah
langkah pertama untuk menunjukkan pandangan mereka itu salah.
Perhimpunan ini juga memberi isyarat sama ada PAS dan Gagasan akan
bekerjasama dengan PH untuk mengurangkan pertembungan tiga penjuru, yang
diyakini oleh banyak penganalisis selama ini menguntungkan BN.
PAS yakin ia akan dapat menghimpunkan 200,000 penyokongnya untuk
berkumpulan di Pantai Teluk Jembal, Kuala Terengganu pada Jumaat dan
Sabtu ini.
PAS juga akan melancarkan secara rasmi jentera pilihan rayanya pada perhimpunan itu, kata Ahli Parlimen Temerloh itu.
Parti Islam itu menganjurkan Fastaqim yang pertama pada Oktober 2015
di Kota Bharu, Kelantan, tidak lama selepas 18 pemimpinnya meninggalkan
parti itu untuk membentuk Amanah. Ia dihadiri lebih kurang 60,000 orang.
Perhimpunan edisi kedua ini akan disertai oleh anggota komponen
Gagasan iaitu Parti Ikatan Malaysia (Ikatan), Berjasa and Parti Cinta
Malaysia (PCM).
Buka jalan PRU14
Penganalisis politik Hisomuddin Bakar melihat perhimpunan di Kuala
Terengganu itu akan memberi isyarat yang lebih jelas tentang kedudukan
PAS menuju PRU14.
"Ada banyak perbincangan dalaman parti yang membayangkan ia masih membuka pintu untuk bekerjasama dengan PH," katanya.
"Ada cakap-cakap dalam PAS mengatakan pintu untuk bekerjasama dengan
(komponen PH) PKR sudah tertutup tetapi pintu itu belum terkunci."
Sesi permukiman PAS di Perak
baru-baru ini mencetuskan desas-desus PAS masih berusaha membentuk
kerjasama politik dengan PKR dan Bersatu bagi memastikan pertembungan
satu lawan satu dengan BN.
PH sebaliknya sudah memutuskan menutup semua pintu rundingan dengan PAS dan bersedia merangka strategi berdepan dengan BN dan PAS dalam pilihan raya nanti.
Nasrudin percaya PAS akan bertanding lebih 100 kerusi Parlimen
berbanding hanya 66 ketika bersama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat pada
2013.
“Ya, setakat ini kita tidak muktamadkan lagi angkanya tetapi 100
lebih itu angka yang signifikan dan munasabah (untuk) letak calon di
seluruh negara.
"Mungkin 130 atau 140 untuk kita letak calon parti nanti. Kita tengok sejauh mana PAS serius.
"Bagaimana nak pimpin negara jika hanya bertanding 60-70 kerusi,” katanya.
Nasrudin turut mengingatkan peserta perhimpunan untuk bergembira dan
menganggap pertemuan di Pantai Teluk Jembal itu sebagai “hari keluarga
besar” untuk ahli, penyokong dan simpatisan parti Islam itu.
Sementara itu, penganalisis politik Wong Chin Huat daripada Institut
Pulau Pinang berkata PAS tidak mungkin menggunakan perhimpunan hujung
minggu ini untuk mengumumkan hasrat bekerjasama secara rasmi dengan Umno
kerana ia “bahaya bagi PAS”.
“Ia akan menjauhkan penyokong tegas anti kerajaan dan mengesahkan
dakwaan Amanah dan PH selama ini yang PAS sudah dibeli oleh Umno,”
katanya.
Wong sebaliknya yakin PAS akan mengumumkan sasaran kerusi yang akan
ia tandingi dalam PRU14 iaitu lebih daripada 83 kerusi, atau separuh
kerusi yang dipertandingkan di Semenanjung Malaysia.
"Pimpinan parti itu juga akan memberikan penekanan yang umat Islam
sedang diasak di dalam negara seperti festival arak dan gay, dan di
peringkat antarabangsa, dengan merujuk kepada nasib yang menimpa etnik
Rohingya.
“PAS akan menggunakan pentas ini untuk menyeru umat Islam supaya
bersatu mempertahankan Islam dan kedudukan orang Islam di Malaysia.”
Wong juga percaya penyokong PAS di akar umbi akan diseru untuk
memastikan undi mereka diberikan kepada parti Islam itu, “atau
setidak-tidaknya mereka tidak mengundi parti kafir harbi dan parti
pemimpin Islam yang bersekutu dengannya.”
Wong menjangkakan PAS akan mengulangi tuduhan kepada DAP dan pemimpin
bukan Islam yang membantah pembatalan festival arak di Kuala Lumpur
sebaliknya mendakwa mereka berhak menentang pindaan Akta 355 yang
dikatakan hanya melibatkan orang Islam.
Skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang membelenggu Perdana
Menteri Najib Razak pula akan “ditepis secara tidak langsung,” kata
Wong.
“Mereka (PAS) akan mengatakan bukti-buktinya tidak memadai dan kita harus berhati-hati dengan campur tangan asing.”
"Acara dua hari ini juga seolah-olahnya mahu menyaingi perhimpunan
Bersih 4. Banyak orang mendakwa Bersih tidak dapat menarik sokongan
orang Melayu selepas PAS tiada. Saya berminat hendak lihat berapa ramai
orang yang dapat mereka kumpulkan."
PAS meluaskan wilayah kemenangannya ke Kedah pada PRU 1999 dan
kemudian Selangor dan Perak pada 2008. Dalam pertembungan tiga penjuru,
beberapa calonnya malah hilang wang pertaruhan seperti yang berlaku pada
20 calonnya dalam PRU 1986.
PAS mungkin ada peluang yang lebih baik di Selangor berbanding di
negeri-negeri lain tetapi pendirian tegasnya berhubung penganjuran pesta
arak dipercayai akan menyebabkan sebahagian pengundi bukan Melayu
menyokong Umno, kata Wong.
Wong sebaliknya percaya pesaing PAS yang utama ialah Bersatu.
"Saya tidak fikir kekuatan sebenar Bersatu ialah di kawasan luar
bandar walaupun ia nampaknya bekerja keras di situ. Peranan sebenar
Bersatu ialah menggantikan PAS sebagai pelindung kepentingan Melayu
dalam PH." - Oleh
Radzi Razak,
Sheridan Mahavera,
Bede Hong
Ada apa dengan perhimpunan PAS hujung minggu ini
Reviewed by DetikDaily
on
September 27, 2017
Rating: 5
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.
Dapatan firma kaji selidik Merdeka Center mengenai sokongan pengundi – yang bocor – menunjukkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berdepan mas...
Bicara Islam
Comments
Recent Comments:
Recent Posts
Email
Teknologi
Wawancara
Notis
Sebarang kemusykilan,cadangan,teguran,kritikan dan sumbangan artikel srta pertanyaan boleh hubungi pihak kami di Email :denyutreformasi@gmail.com
Jumlah Paparan Halaman
PERINGATAN : Apa jua yang disiar dalam web/blog ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan web denyutan Reformasi.Kami tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.