Kelirukah Guan Eng?
APA sahaja komen
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terhadap masalah yang melanda
kerajaan negerinya, semuanya akan disalahkan pada Kerajaan Persekutuan.
Ini termasuklah banjir teruk yang
membadai negeri itu beberapa hari lalu. Tak ada kerja lain. Perlakuan
‘pelik’ Guan Eng ini dijawab oleh Ketua Menteri Melaka, DATUK SERI IDRIS
HARON kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL di ibu negara
Ahad lalu.
UTUSAN: Guan Eng mendakwa punca banjir di
Pulau Pinang beberapa hari lalu akibat dari hujan lebat yang melampau,
dikatakan purata taburannya sebanyak 270 milimeter?
IDRIS: Apabila Pulau Pinang
dilanda banjir, beliau kata Kerajaan Pusat terlupa sedia peruntukan
untuk menyelenggara dan selesaikan masalah banjir di Pulau Pinang. Kalau
ada tahap pemikiran sedemikian, beliau hanya sesuai jadi ketua
pembangkang. Seorang ketua menteri tidak boleh berfikir seperti ketua
pembangkang.
Bukankah Melaka juga dilanda banjir tempoh hari, bagaimana kerajaan negeri kendalikan masalah ini?
Kerajaan negeri Melaka mempunyai pelbagai bentuk perancangan jangka pendek dan jangka panjang mengatasinya.
Ini termasuklah Rancangan Tebatan Banjir (RTB)
untuk penyelenggaraan longkang dan saliran oleh pihak berkuasa tempatan
(PBT) dan jabatan parit dan saliran.
Kita tak kata kita terlupa nak bajet. Kerajaan
negeri bertanggungjawab walaupun pada sesetengah masa kita tidak boleh
kawal kekangan cuaca itu sendiri.
Ramalan cuaca pun tidak begitu tepat dan kita tak jangka hujan lebat berlarutan hingga ke satu atau dua jam.
Di Melaka, kalau hujan berlarutan hingga tiga
jam, pasti berlaku banjir. Kita tak pernah kata Kerajaan Persekutuan
terlupa bajet kerana kita tak berfikir seperti ketua pembangkang tetapi
kerajaan negeri.
Jadi, mengapa Guan Eng salahkan Kerajaan Persekutuan dalam isu banjir di negerinya?
Guan Eng suka tuding jari pada Kerajaan Persekutuan.
Ini salah satu cara berfikir yang hanya sesuai untuk jawatan ketua pembangkang, bukannya ketua menteri.
Sebab itu Pulau Pinang berdepan pelbagai bentuk
masalah. Janji-janji tidak ditepati. Pembangkang gemar tabur janji tapi
apabila sampai masa untuk laksanakan janji itu, dia akan kata, ini bukan
kuasa kita. Ini kuasa Kerajaan Pusat.
Ada contohnya?
Isu pencerobohan Kampung Buah Pala di Bukit
Gelugor, Pulau Pinang. Sebelum pilihan raya umum ke-12 (PRU-12), ketua
pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji tidak akan usik walaupun
seincipun Kampung Buah Pala kalau menang PRU ke-12. Tetapi selepas dua
tahun menang, mereka halau penduduk di kampung itu.
Akhirnya Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB)
yang selamatkan kampung ini. Semasa saya jadi Pengerusi SPNB, saya
datang bersama Perdana Menteri (Jun 2012) serahkan kunci kepada 20
keluarga India yang merupakan bekas penduduk Kampung Buah Pala. Kesemua
20 keluarga itu mendapat sebuah rumah teres dua tingkat berharga
RM250,000 yang dibina SPNB dengan dilengkapi tiga bilik tidur serta dua
bilik air dan terletak di Taman Sejahtera Indah, Teluk Air Tawar.
Mana juga janji Guan Eng nak mansuhkan Tol Sungai
Nyior, kini berjanji pula nak mansuhkan kutipan tol di Lebuh Raya
Utara-Selatan dan tol Jambatan Pertama Pulau Pinang jika Pakatan Harapan
menang pada PRU-14. Kemudian lari salahkan kerajaan pusat.
Sebab apa berlaku macam ini? Kerana Guan Eng
dipagari konflik kekeliruan, pada masa sama dia berfikir dan bercakap
sebagai ketua menteri dan ahli parlimen DAP. Akhirnya rakyat tersepit di
tengah-tengah...menderita.
Baru-baru ini anak bekas Setiausaha Agung
DAP, Kerk Kim Hock dilantik sebagai setiausaha politik Lim Kit Siang,
bukankah sebelum ini ada isu Guan Eng tidak diterima di Melaka?
Tindakan Kit Siang melantik Kerk Chee Yee, 25,
sebagai setiausaha politik baharunya menggantikan Dyana Sofya Mohd.
Daud, saya mahu bertanya apakah ini untuk ‘mencuci dosa’? Ini
termasuklah sebagai ‘pembelaan’ kepada Guan Eng untuk kononnya bertapak
kembali di Melaka. Ini berikutan Guan Eng pernah ditolak mentah-mentah
oleh DAP Melaka yang diketuai bekas ketua pembangkang yang juga Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong dari DAP, Goh Leong San.
Guan Eng telah terpelanting keluar dari Melaka,
lari ke Pulau Pinang dan menjadi ketua menteri. Kita maklum dari satu
sudut Guan Eng terpelanting ke Pulau Pinang sebagai tactical
withdrawal. Bila dia keluar, dia berazam datang balik dan menakluki
Melaka. Gerakannya yang dikatakan diketuai Khoo Poay Tiong (DAP-Ayer
Keroh) nampaknya berjaya sehingga mengakibatkan empat Yang Berhormat
tinggalkan DAP tempoh hari





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.