PRU 14 SPR Bersedia
Oleh
“INSYA-ALLAH,
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersiap sedia mengendalikan Pilihan
Raya Umum ke-14 (PRU-14) seandainya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen esok.”
Begitulah permulaan bicara Pengerusi
SPR, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah ketika penulis bertemu bersama
seorang lagi rakan media menemubual beliau di pejabatnya di Menara SPR,
Jumaat minggu lalu.
Sedar akan tanggungjawabnya sebagai Pengerusi
SPR, lebih-lebih lagi kali pertama mengetuai pilihan raya umum kali ini,
riak wajah Mohd. Hashim jelas memperlihatkan keyakinannya untuk memikul
amanah besar tersebut.
Apapun, beliau
mengakui untuk mengendalikan PRU-14 bukannya satu tugas mudah sebaliknya
memerlukan kecekapan, ketelusan, kesaksamaan dan perlu mendapatkan
kepercayaan daripada semua pihak khususnya parti-parti bertanding.
Sebarang kesilapan boleh menjejaskan keyakinan terhadap SPR dan
keputusan pilihan raya itu sendiri.
“Walaupun
merasai tekanan itu tetapi saya berkeyakinan dapat menjalankan
tanggungjawab menguruskan PRU-14 dengan baik dan lancar hasil kerjasama
serta bantuan daripada pegawai-pegawai yang cekap dan berpengalaman,”
ujarnya.
Selain itu, pengalaman
mengendalikan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 dan pilihan raya kecil
sebelum ini turut memberi kelebihan kepadanya untuk mengendalikan
PRU-14 pada tahap terbaik. Yang penting katanya, SPR perlu berada dalam
keadaan sentiasa bersedia kerana PRU-14 boleh diadakan pada bila-bila
masa sahaja.
Dalam pada itu beliau berkata,
setiap persiapan ini untuk menghadapi PRU-14 akan diteliti satu persatu
meskipun hanya melibatkan perkara kecil umpamanya penyediaan alat-alat
tulis dalam usaha memastikan kelancaran tugas di pusat-pusat pengundian
tidak terganggu.
“Kita tidak mahu satu alat
tulis pun tercicir. Contoh mudah, pengokot (stapler). Ketiadaan pengokot
dalam kotak alat tulis yang dikhaskan untuk petugas-petugas pilihan
raya di pusat-pusat pengundian akan mengganggu kelancaran tugas mereka.”
katanya.
Kami juga dimaklumkan, sebanyak
230,000 petugas pilihan raya telah dilantik untuk membantu SPR
mengendalikan pilihan raya tersebut dan mereka terdiri daripada pegawai
kanan, pegawai serta kakitangan awam di beberapa agensi kerajaan. Mereka
telah diberikan taklimat dan latihan secukupnya oleh pihak SPR.
Kesemua
petugas ini akan ditempatkan di pusat-pusat pengundian dan mana-mana
lokasi yang telah ditetapkan oleh SPR. Pegawai Pengurus Pilihan raya
pula dilantik dalam kalangan Pegawai Daerah dan Yang Dipertua Majlis.
Dari
segi persiapan lain seperti premis (pusat mengundi) serta kemudahan
yang diperlukan juga dalam proses penyediaan oleh pihak SPR ketika ini
termasuk persiapan logistik yang merangkumi pengangkutan darat, udara
dan air bagi melengkapkan segala keperluan sekiranya berlaku PRU-14.
Ditanya
tentang kos, Mohd. Hashim berkata, sebanyak RM450 juta telah
diperuntukkan kepada SPR untuk tujuan diadakan pilihan raya umum
berkenaan manakala tentang pembaharuan yang akan berlaku pada pilihan
raya umum akan datang, beliau berkata, tiada sebarang perubahan kecuali
cara penggunaan dakwat kekal yang sedikit berbeza berbanding PRU-13.
“Dalam
PRU-14 akan datang setiap pengundi diwajibkan mencelup jari mereka ke
dalam dakwat kekal dan bukannya dicalit di jari mereka seperti mana
pilihan raya umum sebelum ini. Kaedah tersebut mula kita gunakan pada
Pilihan Raya Kecil Besut (2013),” katanya.
Tujuannya
untuk mengelakkan timbul sebarang kekeliruan yang mungkin akan
dibangkitkan oleh segelintir pihak. Matlamat mereka semata-mata mahu
mencabar kewibawaan SPR sebagai agensi yang bertanggungjawab
menguruskan pilihan raya di negara ini.
“Apabila
kita calit dakwat kekal ada pihak yang cuba menghilangkannya dengan
pelbagai cara. Mereka mahu buktikan yang dakwat ini tidak kekal dan
mudah ditanggalkan. Oleh itu kita membuat perubahan yang mana setiap
pengundi pada PRU-14 diwajibkan mencelup jari mereka ke dalam dakwat,
sebagai bukti mereka telah mengundi,” katanya.
Dalam
perkembangan berkaitan, beliau turut mencadangkan agar penggunaan undi
pos diperluaskan khusus untuk mereka yang bertugas pada hari pengundian
seperti doktor, jururawat, warden penjara, anggota bomba, pemandu
ambulans dan anggota Maritim Malaysia.
Kata
Mohd. Hashim, sudah tiba masanya golongan ini diberi hak untuk mengundi
melalui kaedah undi pos seperti mana dinikmati oleh golongan tertentu
seperti petugas media memandangkan pada hari pengundian pihak berkenaan
terpaksa menjalankan tugas.
“Ini juga salah
satu perkara yang perlu SPR selesaikan dengan segera. Mereka ini
adalah pengundi berdaftar tetapi malangnya mereka tidak boleh keluar
mengundi ke pusat-pusat pengundian kerana terpaksa bekerja pada hari
berkenaan. Hak ini perlu kita kembalikan kepada mereka dan antara kaedah
terbaik adalah melalui undi pos,” katanya.
Malahan
Mohd. Hashim yakin jika semua pihak bersetuju dan tempoh mengizinkan,
mereka boleh menjadi pengundi pos pada PRU-14 akan datang. Tambahan pula
cadangan membenarkan golongan terlibat menunaikan tanggungjawab secara
pos tidak memerlukan kelulusan Parlimen kerana syor tersebut hanya
melibatkan urusan pentadbiran.
“Kami juga
ingin mengesyorkan agar diperkenalkan peti undi bergerak ke rumah
golongan tidak berupaya seperti warga emas, orang kelainan upaya (OKU)
dan orang sakit terlantar. Dengan kaedah ini, saya percaya lebih ramai
lagi golongan akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya
lagi.
infografik PRU-14
Daftar Pemilih sehingga 30 Jun 2017 (Suku tahun kedua 2017)
Jumlah warga negara layak mendaftar - 18,354,828
Jumlah yang telah mendaftar - 14,622,640
Jumlah warga belum mendaftar - 3,732,188
Jumlah petugas pilihan raya - 230,000 orang
Kos perbelanjaan - RM450 juta
Tarikh luput mandat kerajaan Barisan Nasional
24 Jun 2018
Tempoh akhir SPR mengadakan PRU-14
Ogos 2018




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.