Sampai masanya Mahathirisme disimpan dalam stor politik
Oleh IR KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
PAS mutakhir ini menjadi sasaran serangan bertali
arus oleh Pengerusi Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad yang melantunkan
ratapan, simpati dan rajuk politiknya bagi meraih sokongan murahan.
Beliau jelas ketandusan modal dengan terus mengulang dan memuntahkan
toksik fitnah dan jelek untuk mendatangkan imej buruk kepada PAS. Lalu
PAS dikait dan dihadapkan dengan pelbagai tuduhan dari perbuatannya
sendiri.
Saat berkuasa hingga kini, PAS terus dihentamnya sebagai pemecah
belah dan mengkafirkan beliau. Sedangkan beliau sendiri berpecah dari
parti diperjuangkannya dahulu yakni Umno dan kini berserabut pula dalam
PH. Sedangkan, kesatuan warga terbesar negara ini iaitu Islam-Melayu
tidak pernah pun berlaku sepanjang beliau memegang tampuk pemerintahan
negara selaku Perdana Menteri paling lama.
Malah, terlalu banyak kontroversi ditimbulkan beliau yang memecah
belah dan menimbulkan kekeliruan besar kepada umat ini. Pada 14 Julai
1991 beliau menyatakan bahawa hukum rejam kepada penzina adalah
primitive. Begitu juga dalam perjumpaan bersama Ketua-ketua Bahagian
Umno di Johor pada 30 April 1992, beliau sekali lagi mempertikaikan
hukum hudud.
Dalam majlis itu beliau menyebut bahawa hukum rejam batu sampai
mati kepada penzina dan potong tangan kepada pencuri, akan menyebabkan
ramai rakyat beragama Islam yang mati dan kudung tangan di mana ia
sangat memalukan umat Islam kerana orang bukan Islam akan sempurna
sifatnya dan boleh meneruskan kerja. Begitu juga dalam tahun 1994,
Mahathir telah ‘berfatwa’ bahawa al-Quran perlu ditafsirkan semula.
Kuatnya permusuhan dan dendam beliau kepada PAS, hinggakan beliau
juga cuba untuk menghapuskan penggunaan perkataan Islam kepada parti
politik dan pertubuhan NGO. Namun ideanya itu tersanggah oleh Mesyuarat
Majlis Raja-raja membuat pendirian sebaliknya. Malah, banyak rekod lain
di mana beliau turut menyindir Rasulullah S.A.W, keluarga Baginda serta
para Sahabat R.A.
Mahathir juga pernah mempergunakan Astora Jabat, seorang rakyat
Thailand untuk berlakon sebagai ulama dan menyerang PAS dengan membawa
hujah-hujah songsang yang mengelirukan umat Islam. Astora Jabat secara
tidak langsung menjadi penasihat agama Mahathir yang beliau lebih
percayai berbanding mufti dan ulama berkaliber dalam pentadbiran JAKIM
ketika itu di mana mereka sering disindirnya.
Pada tahun 2001, juga semasa pemerintahan Mahathir, telah diadakan
debat olok-olok di mana beberapa orang diupah untuk menjadi kumpulan
Ulama PAS melawan kumpulan Ulama Umno. Mahathir mahu mereka membuat
simulasi debat dengan harapan dapat bersedia menghadapi hujah ulama dari
PAS. Malangnya, simulasi tersebut ternyata memihak kepada kumpulan
lakonan Ulama PAS.
Pada tahun 2003 pula, Mahathir dengan angkuhnya menarik bantuan
perkapita bagi Sekolah Agama Rakyat di seluruh negara. Malah, institusi
itu sering diremeh dan pernah dituduhnya sebagai tempat melahirkan
kegiatan radikal. Semua itu hanyalah kerana permusuhan dan bencinya
beliau kepada PAS yang menjadi saingan politik beliau dan tidak berjaya
ditundukkan di bawah kekuasaannya.
Hakikatnya, beliau hanya cemerlang menyatukan umat dalam
materialisma dan liberalisma di mana di zaman beliaulah
kumpulan-kumpulan penentang agenda Islam dan sesat berkembang biak.
Mereka bukan sahaja menentang setiap tonggak, institusi dan para peranan
agama, malah meluaskan kekeliruan dan kefahaman songsang terhadap
al-Quran dan al-Hadis.
Bahkan, kumpulan ini jugalah mempromosikan gaya hidup bebas seperti
golongan LGBT, selain bersekutu dengan pihak bukan Islam yang sedia
memperakui mereka. Sebab itulah Mahathir begitu mudah diterima oleh DAP
kerana mereka mempunyai akidah perjuangan yang sama iaitu menolak hukum
Islam dan mencabar segala berkaitan dengan kepentingan umat Islam.
Mahathir juga tidak pernah mengaku dan meminta maaf akan fitnah
liwat beliau lontarkan semasa mengusir Anwar dari Umno. Sedangkan rakyat
mahu tahu kebenaran terhadap perkara itu yang hanya boleh dijelaskan
beliau di mana insiden tersebut juga antara penyebab ramai umat Islam
berpecah dan bergaduh sesama sendiri kerana menyokong mereka.
Dalam permainan politik sedang diadu dombakannya kini, rakyat
digesa menilai secara bijak dan matang perbezaan antara sumbangan dan
jasa beliau dalam membangunkan negara dengan kezaliman serta
penyelewengan kleptokrasinya terhadap Negara. Ketika beliau mahu
dijulang kerana vokal menentang Zionis-Israel, jangan lupa lumuran darah
mangsa Kampung Memali ditangannya.
Ketika sama, nilailah sikap pimpinan PH yang begitu kuat
menentangnya dahulu dan menjadikan seluruh kejahatan Mahathir sebagai
sebab pakatan diwujudkan mereka, namun kini begitu apologetik dan mesra.
Paling dikesali, ‘diampuni’ Mahathir dalam semua perkara yang tidak
menjadi hak kepada mereka. Sedangkan semua dilakukan dahulu menuntut
pengadilan ke atas negara dan rakyat, bukannya milik PH.
IR KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.