Usaha mendakwa Israel atas jenayah perang
Oleh Zin Mahmud
Empat
kumpulan hak asasi Palestin telah menyerahkan dokumen 700 halaman
kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mendakwa pegawai peringkat
tinggi Israel telah terlibat dengan pelakuan jenayah perang dan jenayah
terhadap kemanusiaan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.
Kumpulan itu ialah al-Haq, Pusat
al-Mezan bagi Hak Asasi Manusia, Pusat Palestin bagi Hak Asasi Manusia
dan Persatuan Aldameer bagi Hak Asasi Manusia, semuanya berpusat di
Palestin.
Tugas kumpulan-kumpulan ini adalah
memperjuangkan hak asasi manusia di Palestin dengan menyiasat dan
mengumpul fakta berhubung perkara itu. Setiap kumpulan itu mempunyai
fokus penyiasatannya tersendiri.
Ini
kerana isu hak asasi manusia adalah luas, baik dari skop perkara mahupun
mengikut ruang geografi. Umpamanya ada yang memberi tumpuan pada
jenayah perang, sementara yang lain pula fokus pada jenayah terhadap
kemanusiaan.
Dari segi geografi pula,
ada yang memberi tumpuan kepada Gaza. Sementara yang lain pula, fokus
pada Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.Jenayah perang bermaksud
perbuatan salah yang dilakukan sewaktu perang.
Sementara jenayah terhadap kemanusiaan adalah tindakan salah terhadap sekumpulan manusia pada masa aman.
Seringkali
tersiar dalam media mengenai kekejaman Israel terhadap Palestin. Tetapi
sekadar laporan media tanpa dokumen perundangan, ia tidak mempunyai
nilai berkesan. Sebab itu diperlukan dokumen membutirkan serta fakta
mengenai pelakuan Israel.
Inilah yang
dilakukan oleh kumpulan-kumpulan hak asasi itu. Sama ada dokumen itu
akan mendatangkan kesan adalah soal lain kerana Israel tidak akur atau
menghormati pandangan dunia, yang dianggap kebanyakannya memusuhinya.
Dalam
dokumen itu, yang dikeluarkan pada Rabu lalu, kumpulan-kumpulan
tersebut menggesa Pendakwa Raya ICC, Fatou Bensouda untuk segera
melakukan siasatan penuh ke atas wilayah Palestin yang sekarang diduduki
oleh Israel.
Lanjutan daripada itu, ICC
hendaklah mengorak langkah-langkah perlu bagi menghentikan budaya zalim
ini, yang telah lama berlanjutan sebagai jenayah Israel dengan
meletakkan tanggungjawab perbuatan itu ke atas pegawai politik peringkat
tinggi.
ICC adalah platform yang sesuai
bagi menangani aduan Palestin, yang sudah lama didengar tetapi tidak ada
tindakan terhadap Israel. Malah sama ada usaha ini akan berkesan atau
tidak, ia juga masih diragui.
Institusi
ICC ini adalah badan bebas berpusat di The Hague, Belanda yang bergerak
menurut perjanjian Statut Rom yang ditandatangani oleh 124 negara.
Tetapi
Israel tidak menandatanganinya. Namun warganegaranya boleh dikenakan
tindakan jika jenayah itu dilakukam di Palestin. Ini kerana Palestin
menandatangani perjanjian itu yang dilakukannya pada tahun 2015. Orang
perseorangan itu boleh ditangkap atau didakwa di Mahkamah ICC. Tetapi
tentunya Israel enggan bekerjasama.
Ketika
Pihak Berkuasa Palestin (PA), iaitu sebaik saja ia layak berbuat
demikian selaku kerajaan yang sah menyertai ICC, Israel bertindak balas
dengan menghentikan pembayaran cukai yang dikutip bagi pihak mereka.
Menderita
PA antara lain beroperasi dengan menggunakan wang cukai penduduknya
seperti kerajaan-kerajaan lain. Tetapi kutipan cukai itu dibuat oleh
Israel bagi pihak Palestin. Setelah dikumpulkannya barulah diserahkan
pada PA.
Butiran dokumen itu berasaskan
pada fakta yang dikumpulkan oleh empat kumpulan itu. Ia meliputi jenayah
ke atas kemanusiaan seperti yang ditetapkan oleh Statut Rom iaitu
pembunuhan, pengusiran atau pemindahan penduduk, dan apartheid. Apa yang
dimaksudkan dengan apartheid ialah layanan berbeza yang meminggirkan
terhadap sesuatu kumpulan manusia hanya kerana berlainan warna kulit,
kaum, keturunan, agama atau fahaman politik.
Dokumen
itu juga memaparkan bukti jenayah perang seperti pembunuhan, pemusnahan
dan rampasan harta secara berleluasa, pengusiran dan pemindahan haram,
pemindahan penduduk kuasa yang menakluk orang awam mereka ke wilayah
yang didudukinya dan rampasan sesuatu bandar dengan memusnahkan harta
seterunya.
Dakwaan jenayah itu tertumpu
pada perbuatan pihak Israel semasa Perang Gaza. Oleh kerana Palestin
menyertai ICC pada April 2015, maka ia boleh 'bicarakan jenayah yang
berlaku sejak 13 Jun 2014. Pada tahun itu Israel melancarkan serangan
terhadap Gaza. Perang selama 51 hari itu mengorbankan 2,200 orang
Palestin termasuk 1,462 orang awam, dan 500 kanak-kanak.
Perpindahan
orang Israel ke wilayah Palestin dilihat sebagai jenayah perang yang
unik kerana ia dilakukan dengan merampas tanah orang Palestin. Ini
dikatakan oleh Raji Sourani, Pengarah Pusat Palestin bagi Hak Asasi
Manusia.
Beliau merujuk pada penempatan
haram di Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat. Sejak tahun 1967, kerajaan
Israel telah memindahkan antara 600,000 dan 750,000 warga Israel ke
wilayah Palestin.
Penempatan terbesar mempunyai 94,000 orang Israel yang
dibina di atas tanah orang Palestin yang dirampas Israel.
Kuasa
yang menduduki sesuatu wilayah diharamkan daripada memindahkan
sebahagian penduduk awamnya ke dalam wilayah didudukinya. Perkara ini
disebut dalam persetujuan keempat Konvensyen Geneva yang menjelaskan
perlindungan kemanusiaan terhadap orang awam dalam zon perang.
Pendudukan
Israel ke atas Tebing Barat dan Gaza adalah haram tetapi Israel tidak
mempedulikannya. Palestin menggunakan pelbagai cara untuk mendapatkan
kembali kedaulatannya. Maka usaha ini merupakan sebahagian jalan yang
dilakukan iaitu melalui perundangan antarabangsa.
Akhirnya
mungkin Palestin boleh berjaya dan menang sorak. Tetapi daripada rekod
Israel, mereka tidak akur dengan kehendak antarabangsa. Kalau mereka
menghormati dunia, sudah tentulah orang Palestin tidak terus menderita
seperti yang berlaku sekarang.
Sebab itu
ada sebahagian orang Palestin percaya bahawa keadilan hanya dapat
dicapai melalui perang. Israel menggunakan perang untuk menakluk
sisa-sisa wilayah Palestin. Maka bagi membebaskan Palestin, jalan yang
ditempuh wajar melalui perang.
Tetapi
orang Palestin tidak kuat. Hamas yang menggunakan senjata bagi
mempertahan diri tidak dapat menghalang tentera Israel semasa perang di
wilayah itu.
Israel berharap bahawa
akhirnya Palestin berasa putus harap dan tidak melawannya. Sementara itu
penempatan Yahudi terus bertambah dan akhirnya Tebing Barat dimiliki
Israel sepenuhnya. Mungkin akhirnya Palestin hanya akan tinggal Gaza.
Tetapi
usaha membawa Israel ke ICC menunjukkan bahawa rakyat Palestin tidak
putus harap. Mereka akan menggunakan apa saja proses untuk mendapatkan
semula tanah air mereka. Usaha ini adalah dalam medan perundangan.
Terdapat
banyak medan dalam mendapatkan apa yang dikehendaki oleh sesebuah
bangsa. Medan perang dan medan diplomasi adalah kaedah yang sering
digunakan.
Tetapi bagi bangsa Palestin
yang sudah begitu lama dinafikan haknya, maka medan budaya juga perlu
dikerahkan untuk mencapai matlamat nasional itu.
Perjuangan
Palestin sudah masuk pada beberapa generasi. Begitu juga Israel yang
juga telah melalui beberapa generasi dalam usaha mereka menundukkan
Palestin. Tetapi akhirnya tidaklah dapat dijangka siapa akan menang.
Sama
ada Israel atau Palestin yang menang. Atau kedua-duanya kalah, atau
kedua-duanya menang.
Tetapi pada masa sekarang, Israel yang sedang
menang. Tetapi dalam perang, yang menang jadi arang, yang kalah jadi
abu. Pertarungan antara Israel dan Palestin belum berakhir.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.